Hari pertama Fasa Peralihan, kedai gunting ‘laris’

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Setelah sekian lama ditutup, kedai-kedai gunting menjadi tumpuan ramai pada hari pertama Fasa Peralihan apabila premis-premis perniagaan dibenarkan beroperasi semula dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, hari ini.

Semasa tinjauan Media Permata, barisan panjang dapat dilihat di luar beberapa buah kedai gunting lelaki di daerah ini.

Penyelia kedai gunting Norhil Enterprises, Annadurai ketika ditemu bual menjelaskan bahawa sebelum membuka kedai gunting rambut mereka, beberapa inisiatif telah dilaksanakan seperti membersihkan kemudahan yang terdapat di kedai berkenaan dan membersihkan kawasan kedai.

Manakala itu, peralatan gunting rambut yang tidak digunakan selama berbulan-bulan juga disanitasi selain memastikan semua pekerja divaksin sepenuhnya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau seterusnya menjelaskan, di samping mengingatkan pekerja dan pelanggan mematuhi semua garis panduan dan SOP yang telah digariskan, penerimaan pelanggan juga dihadkan kepada tiga pelanggan saja walaupun mereka dapat menerima enam pelanggan dalam satu masa.

Pekerja kedai menggunting rambut pelanggan pada hari pertama Fasa Peralihan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Pada masa sama, Annadurai turut menjelaskan bahawa mereka sentiasa mengingatkan pekerja dan pelanggan untuk memakai pelitup muka dan memeriksa tahap kesihatan pelanggan sebelum dibenarkan memasuki kedai.

Manakala itu, seorang lagi penyelia kedai gunting, Mujib mengongsikan bahawa kapasiti kedai mereka boleh menampung 10 pelanggan pada satu masa dan dengan garis panduan baharu mereka menerima 50 peratus daripada jumlah kapasiti yang dibenarkan.

“Ini bermakna kami hanya menerima lima pelanggan dalam satu-satu masa dan selepas khidmat gunting rambut, kerja pembersihan akan dilakukan sebelum menerima pelanggan baharu lagi,” tambahnya.

Sebuah lagi kedai gunting rambut yang terletak di Kampung Serusop berkongsi bahawa mereka menjalankan sistem tempahan bukan secara walk in yang mana ini adalah untuk memudahkan mereka mematuhi garis panduan sekali gus mengelakkan pelanggan menunggu di tempat terbuka.

“Kaedah yang dibuat ini, kami bukan saja mementingkan keselamatan pekerja tapi kami juga mementingkan keselamatan pelanggan,” jelas wakil kedai gunting berkenaan.