Hari pertama masuk sekolah

Oleh Imelda Groves & Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Hari pertama masuk sekolah merupakan pengalaman buat anak-anak yang baru merasakan alam persekolahan terutama bagi mereka yang memasuki Kelas Tadika dan Tahun 1 yang mana pelbagai karenah yang dihadapi oleh para ibu bapa dan juga guru-guru sekolah.

Begitulah juga yang dihadapi oleh Dayangku Siti Redzaimi binti Pengiran Haji Ahmad yang dua orang anaknya bersekolah di Sekolah Stella, Sungai Akar, Dayang Na’ila Wajihah yang kini dalam Tahun 2 dan Awang Muhd Elmad Faid bin Mohd Faizalazmi dalam Tadika 2.

Ketika ditemu bual, beliau mengongsikan bahawa beliau dan suaminya sebagai ibu bapa teruja dan gembira dengan bermulanya alam persekolahan bagi anak mereka dan mengharapkan tahun ini akan membawa lebih banyak perkara baik dan peningkatan dalam pembelajaran.

“Namun apa yang pasti, alam persekolahan memang satu perjalanan yang banyak cabaran dalam usaha untuk mencapai kejayaan,” tambah beliau lagi.

Beliau juga memberi nasihat bahawa sebagai ibu bapa janganlah terlalu memberikan tekanan kerana apa yang penting adalah keseimbangan anak-anak dalam menuntut ilmu, sihat secara zahir dan batin.

Pelbagai karenah dapat dilihat dari murid-murid sekolah terutama bagi kelas tadika.
Pelbagai karenah dapat dilihat dari murid-murid sekolah terutama bagi kelas tadika.
Dayang Na’ila Wajihah dan adiknya Awang Muhd Elmad Faid kelihatan sangat bersedia untuk pergi ke sekolah pada hari pertama persekolahan tahun ini.
Dayang Na’ila Wajihah dan adiknya Awang Muhd Elmad Faid kelihatan sangat bersedia untuk pergi ke sekolah pada hari pertama persekolahan tahun ini.

“Bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak menerima pendidikan formal dalam waktu yang ditentukan oleh akta-akta yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Seorang lagi ibu murid di sekolah sama, Pengiran Ratna Sri Dewi binti PDPHH, juga telah mengongsikan perasaan terujanya.

“Setelah sebulan mereka tidak pergi ke sekolah, sekarang kami dapat menghantar anak kami untuk pergi ke sekolah dan melihat mereka bergaul bersama rakan-rakan mereka setelah tidak berjumpa selama sebulan,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihannya untuk menghantar anaknya ke Sekolah Stella, beliau berkata, sekolah berkenaan mempunyai reputasi yang sangat baik, di mana murid-murid yang menduduki PSR di sana telah mendapat keputusan 100 peratus lulus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Malah murid-murid yang mencapai keputusan 5 ‘A’ semakin meningkat di sekolah ini dari tahun ke tahun,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga bercakap mengenai kesukaran membuat persiapan untuk hari pertama anak ke sekolah.

“Ia agak sukar untuk mereka juga dan saya pasti ibu bapa boleh ingat detik-detik kali pertama mereka masuk ke sekolah. Kerana anak-anak kita akan membesar dengan cepat dan sebelum kita menyedarinya, mereka sudah pergi ke sekolah menengah atau kolej,” ujarnya.

Kesukaran bukan sahaja dilalui oleh para ibu bapa dalam hari pertama sesi persekolahan, tetapi juga guru-guru. Media Permata juga sempat pergi ke Sekolah Sunshine yang terletak di Jalan Gadong dan menemu bual salah seorang guru di sana.

Ketua Bahagian Tadika, Margin R. Oya menjelaskan bahawa sebagai seorang guru tadika, beliau telah menghadapi pelbagai pengalaman dalam menangani anak-anak kecil.

“Guru-guru tadika mempunyai pengalaman yang hampir sama dengan yang telah dan sedang saya lalui. Pelbagai jenis tugas yang kami perlu hadapi dan sudah setentunya menenangkan anak-anak yang menangis.

“Tambahan pula, ini merupakan pembukaan sesi persekolahan, yang mana sebelum ini tidak kira murid-murid tadika ataupun mana-mana darjah sekalipun, kebanyakannya masih mempunyai perasaan ‘holiday mood’,” katanya.

Beliau juga menasihatkan para ibu bapa supaya jangan terlalu khuatir akan anak-anak mereka untuk ditinggalkan di sekolah.

“Kami memahami perasaan ibu bapa yang sangat sayangkan anak mereka, khuatir akan terjadinya apa-apa terhadap anak-anak mereka, namun mereka perlu memberikan kepercayaan penuh kepada guru, kerana sudah setentunya tugas guru untuk menangani murid dan mendidik mereka untuk menjadi insan yang lebih baik dan pandai.”

Beliau memberitahu bahawa setakat ini, mereka telah mempunyai seramai 105 orang murid tadika dan jumlah berkenaan belum tetap di mana mereka masih menerima pendaftaran daripada ibu bapa untuk memasukkan anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.

Menurutnya lagi, bukan murid-murid tempatan sahaja yang diterima tahun ini malahan dari negara luar, yang katanya bagus bagi murid-murid agar mereka dapat bergaul dengan pelbagai bangsa dan memahami antara satu dengan yang lain bermula dari kecil lagi.

“Selain orang tempatan, 105 murid berkenaan juga termasuk warga Filipina, China, Amerika Syarikat, India, Malaysia dan juga Indonesia,” tambah beliau.

Manakala itu, salah seorang guru dari Sekolah Seri Mulia Sarjana telah mengongsikan bahawa persediaan bagi memulakan sekolah telah mereka laksanakan sejak cuti persekolahan lagi, di mana mereka perlu membersihkan bilik-bilik darjah serta menghiasnya sebelum murid-murid memasuki kelas berkenaan.

“Kebersihan, dekorasi dalam bilik darjah, papan kenyataan, jadual-jadual, segala buku-buku serta pelan pembelajaran adalah antara yang kami lakukan bagi persiapan sesi persekolahan agar semua berjalan dengan lancar,” jelasnya.