Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Raya Aidilfitri dahulu dan sekarang

    Oleh Haniq Raffael

     

    TIDAK terasa kita sudah mengerjakan ibadah puasa selama dua minggu lebih di bulan Ramadan. Sungguh pantas masa berlalu, kurang dari sebulan lagi masuk pula bulan Syawal iaitu bulan di mana seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

    Begitu banyak perubahan yang dapat kita rasai dan lihat di dalam menyambut kedatangan Syawal jika dibandingkan di era 70-an, 80-an, 90-an dan di awal tahun 2000 dulu.

    Satu suasana yang pasti satu ketika dulu dan sering dinanti-nanti apabila menjelangnya Hari Raya ialah kad raya, di mana kad raya menjadi taruhan kita semua yang kita terima dari kaum keluarga mahupun kenalan rapat.

    Dulu kewujudan telefon bimbit belum ada. Kalau hendak mengucapkan Hari Raya kepada kawan-kawan, keluarga dan sanak saudara semuanya melalui pengiriman pakai kad raya sahaja. Masih ingat lagi pada zaman sekolah, masing-masing bertukar-tukar alamat rumah semata-mata hendak kumpul kad raya. Siap ada yang berlawan siapa dapat kad raya paling banyak.

    Proses membeli kad raya pada zaman tersebut pun seronok. Macam-macam reka bentuk ada untuk kita pilih.

    Permainan bunga api diminati oleh anak-anak kecil kini semakin berkurangan.
    Permainan bunga api diminati oleh anak-anak kecil kini semakin berkurangan.
    Lampu minyak tanah sudah kurang  penggunaannya sebagai hiasan taman rumah di Hari Raya.
    Lampu minyak tanah sudah kurang penggunaannya sebagai hiasan taman rumah di Hari Raya.
    Lampu pelita yang kini moden untuk hiasan luar rumah sempena Hari Raya.
    Lampu pelita yang kini moden untuk hiasan luar rumah sempena Hari Raya.

    Ada yang kartun, bunga-bunga, ada yang warna-warni, sampai rambang mata tidak tahu hendak pilih yang mana satu. Bila sudah membeli kad raya, dan setem, pastinya kita sudah merasa seronok masa hendak pos kad raya tersebut.

    Namun di zaman teknologi canggih ini, budaya menghantar kad raya dilihat sudah semakin luput ditelan zaman dengan kewujudan berbagai-bagai media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan sebagainya.

    Walaupun kemajuan teknologi memudahkan dan menjimatkan masa serta kos perbelanjaan, tetapi “sentimental value” tetap tidak sama seperti mendapat kad raya. Kalau dulu-dulu bila dapat kad raya pasti rasa gembira tersangat-sangat bahkan ianya dijadikan satu koleksi pula, malahan ada pula yang bersaing sesama keluarga dan rakan-rakan siapa menerima kad raya yang paling banyak.

    Ada sesetengahnya pula menjadikan kad raya tersebut sebagai hiasan dinding “deco raya”.

    Kini segalanya sudah berubah, tidak keterlaluan jika dikatakan pembangunan dan kemodenan yang kita kecapi telah menghakis aura hari yang mulia ini.

    Aidilfitri telah digunakan oleh masyarakat dahulu untuk berkunjung ke rumah sanak saudara serta jiran tetangga dengan membawa semua ahli keluarga walaupun hanyalah dengan berjalan kaki bahkan terasa senang dan menyeronokkan sekali dari sebuah rumah ke sebuah rumah jiran dikunjungi.

    Kini, budaya itu semakin terhakis kerana budaya kunjung-mengunjungi kurang diamalkan. Rancangan hiburan yang disiarkan di saluran televisyen menjadikan masyarakat lebih selesa berada di rumah apatah lagi kini pelbagai kemudahan diperolehi seperti parabola, Astro dan pelbagai lagi.

    Pertambahan bilangan saluran televisyen dari pelbagai stesen turut mempengaruhi suasana menyambut hari raya kerana kita pastinya akan selesa berada di dalam rumah menantikan program yang hendak ditonton dan ini menyebabkan masyarakat mempunyai banyak pilihan untuk menonton televisyen, ini turut menjadikan budaya kunjung-mengunjungi kurang diamalkan. Situasi ini sekali gus boleh menjejaskan suasana hari raya yang sepatutnya kita sambut bersama keluarga di dalam menjalinkan hubungan silaturahim dan untuk mengenali para keluarga kita kepada sanak saudara yang lain.

    Kad ucapan Hari Raya walaupun dikira sudah lapuk ditelan zaman namun ianya masih berguna untuk kiriman saudara yang jauh.
    Kad ucapan Hari Raya walaupun dikira sudah lapuk ditelan zaman namun ianya masih berguna untuk kiriman saudara yang jauh.
    Bunga-bungaan pastinya menjadi pilihan orang ramai sebagai penyeri ruang tamu di Hari Raya.
    Bunga-bungaan pastinya menjadi pilihan orang ramai sebagai penyeri ruang tamu di Hari Raya.
    Lemang walau zaman kian berputar maju namun lemang tetap bertahan sebagai salah satu menu di Hari Raya.
    Lemang walau zaman kian berputar maju namun lemang tetap bertahan sebagai salah satu menu di Hari Raya.

    Begitu juga akan halnya dari segi makanan. Kalau dulu ketupat, rendang, dodol, lemang, dan wajik merupakan makanan tradisi yang menjadi hidangan wajib semasa Aidilfitri era 70-an di mana dikatakan setiap rumah mempunyai hidangan wajib ini kerana aura Aidilfitri turut dicetuskan oleh makanan tradisi.

    Namun semua ini sudah ditelan usia perubahan masa malahan menu seperti ini sudah jarang lagi dihidangkan bahkan ianya sudah diambil alih dengan hidangan kuih-muih dan biskut moden yang dibeli di kedai-kedai.

    Kehangatan malam raya semakin bermakna lagi dengan laungan takbir Hari Raya yang berkumandang dari masjid, halaman rumah pula riuh rendah diisi dengan suara adik-adik kecil bermain bunga api dan melaungkan takbir Hari Raya.

    Tapi kini, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, suara kanak-kanak dan anak muda bertakbir di masjid tidak lagi kedengaran meriah macam dahulu.

    Kemeriahan bermain bunga api dan lampu cucul

    Jika dulu kanak-kanak meriah bermain bunga api di perkarangan rumah tapi kini mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan gajet dan menonton pelbagai rancangan di televisyen.

    Begitu juga dengan sekitar rumah indah dihias dengan deretan lampu-lampu pelita yang dibuat daripada minyak tanah, walaupun ia ringkas namun nyalaan api kecil menambahkan seri di malam raya, tetapi kini ia sudah kian hakis dimakan zaman dengan kewujudan lampu-lampu neon yang berwarna-warni dan pelbagai corak menjadi pilihan orang ramai.

    Kita tidak boleh menolak pembangunan dan kemajuan kerana perkara ini berlaku secara menyeluruh. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa nilai-nilai budaya yang kita amalkan akan semakin luntur secara beransur-ansur namun ini bukan bererti kita tidak mempraktikkannya langsung dan terus membuangnya ke tepi kerana apa jua yang lama tersebut pasti ada kebaikannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda