Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 28 JUN – Dengan semangat menyambut Hari Raya masih dapat dirasakan dalam kalangan masyarakat di Mukim Liang, Brunei LNG Sdn Bhd mengadakan Majlis Rumah Terbuka bersama para stakeholder dan masyarakat Mukim Liang hari ini, bertempat di Kelab Rekrasi Liang Lumut (LLRC).
Hadir mengalu-alukan para stakeholder dan orang ramai ialah Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Brunei LNG, Patrice Girard, yang diiringi oleh ahli-ahli pasukan pemimpin, di mana kesemuanya juga mengambil peluang itu beramah mesra bersama para jemputan.
Sebagai salah satu acara tahunan Brunei LNG, ia merupakan salah satu inisiatif syarikat tersebut untuk mengukuhkan lagi hubungannya bersama para stakeholder dan masyarakat di tempat ia beroperasi.
Turut hadir ke keraian itu adalah para pegawai kanan kerajaan, pengurusan dan kakitangan syarikat-syarikat berdekatan, para pemimpin akar umbi, wakil-wakil sekolah dan penduduk Mukim Liang.
Selain jamuan, para jemputan turut dihiburkan dengan beberapa persembahan nyanyian yang ditampilkan oleh kakitangan syarikat, serta dimeriahkan lagi dengan beberapa aktiviti bertemakan Hari Raya yang diadakan di sepanjang majlis.
Brunei LNG turut menyediakan sudut maklumat semasa majlis tersebut, di mana para tetamu boleh mengambil bahagian dalam beberapa kuiz untuk mengenali lebih lanjut tentang syarikat dan perniagaannya.
Ditubuhkan pada 1969, Brunei LNG berkembang maju dengan visi untuk menjadi pemimpin dan penyedia kompetitif LNG. Syarikat ini juga kaya dengan pengetahuan untuk berkembang dan meningkatkan perniagaannya sejajar dengan aspirasi negara, yang akan membawa Brunei LNG melengkapkan pencapaiannya pada ulang tahunnya ke-50 pada Disember nanti.
