Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 25 Jun – Dalam menyemarakkan bulan Syawal, Belia Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai baru-baru ini telah mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di mana para ahli berpeluang beramah mesra sekali gus mengeratkan lagi ikatan silaturahim.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Masjid PAHMA Kampung Sengkarai itu ialah bekas imam masjid berkenaan, Haji Mohd Deli bin Haji Raya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh salah seorang ahli Belia Masjid PAHMA, Awang Mohd Azfarizul Faqri bin Azamain diikuti dengan ucapan ringkas Penyelia Kumpulan Belia Masjid PAHMA, Awang Muhd Padini bin Ta’ai.

Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, peraduan meneka jumlah barang dalam botol dan pertandingan pakaian tercantik serta diakhiri dengan penyampaian hadiah.
Menurut Awang Muhd Padini, sejak penubuhan Belia Masjid PAHMA pada Disember 2017, pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti lawatan, riadah, mengadakan kempen dan sebagainya.
Sepanjang Ramadan lalu, belia-belia masjid juga telah mengadakan Tadarus Al-Quran dan baru-baru ini, rombongan juga berkesempatan mengadakan kunjungan ziarah ke Istana Nurul Iman.

































