Hari Sandakan: Hubungan istimewa tanpa sempadan

KOTA KINABALU, 19 OGOS – Kata orang ‘kesusahan mendekatkan sesama manusia’ dan ini berlaku dalam kisah persahabatan dan ikatan tanpa sempadan antara rakyat Sabah dan Australia yang menjadi tahanan perang (POW) di sini ketika Perang Dunia Kedua.

Kisah yang menyedihkan mengenai Hari Sandakan terkandung dalam buku-buku sejarah menceritakan hampir 2,500 tahanan Australia dan British telah ditahan di sebuah kem di Sandakan, yang mana kesemuanya terkorban pada tahun 1945, kecuali enam tahanan Australia berjaya melarikan diri atas bantuan penduduk kawasan berkenaan.

Walaupun ia adalah episod sedih dalam sejarah Australia, namun Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski percaya ada kebaikan di sebalik kesedihan, dan terdapat pengajaran yang boleh diambil dan diraikan.

“Yang penting adalah enam tahanan yang berjaya melarikan diri dan selamat atas bantuan daripada penduduk Sabah.

“Mereka terselamat kerana keberanian dan kemurahan hati rakyat Sabah. Walaupun ia cerita yang sedih, tapi telah membentuk satu perhubungan yang indah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ulang tahun Peringatan Hari Sandakan yang memasuki edisi ke-75 pada 15 Ogos lepas, disambut setiap tahun bagi memperingati POW yang dibawa dari Singapura ke Sandakan oleh tentera Jepun bagi membina landasan tentera pada tahun 1942 ketika Perang Dunia Kedua.

Hampir 1,400 POW dilaporkan terkorban di Sandakan, manakala selebihnya semasa perjalanan maut ke Ranau.

Goledzinowski berkata seiring dengan peredaran masa, kisah-kisah itu melalui dari satu generasi ke satu generasi dan hingga ke hari ini, ikatan yang kuat masih dapat dirasai antara rakyat di kedua-dua negara. – Bernama