Hari Sarawak meriah

KUCHING, 22 JULAI – Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) dan Sarawak for Sarawakian (S4S) hari ini mengadakan perhimpunan di Padang Merdeka bagi meraikan Hari Sarawak.

Seawal 8 pagi, para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di negeri ini telah berkumpul di Padang Jubli dan Padang Rugbi Song Kheng Hai sebelum berarak menuju ke Padang Merdeka.

Sungguhpun hujan lebat sejak awal pagi tadi, ia tidak mematahkan semangat kira-kira 2,000 peserta untuk berhimpun bagi meraikan Hari Sarawak.

Jurucakap SAPA, Peter John Jaban berkata perhimpunan itu adalah untuk memberikan kesedaran tentang fahaman yang betul mengenai kemerdekaan Sarawak dari penjajahan British serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mengimbau kembali perjuangan kami pada 2013 untuk memperjuangkan sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak pada ketika itu, ramai yang menganggap tindakan kami gila.

“Sekarang syukur ternyata usaha itu tidak sia-sia apabila kerajaan negeri sedar tentang kepentingan hari tersebut dan mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Tahun ini, sambutan Hari Sarawak diadakan di Bintulu dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Jalan Lapangan Terbang Lama awal pagi tadi. – Bernama

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib mengibar bendera Sarawak pada Sambutan Hari Sarawak 2019 di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu kelmarin. – Bernama