Hari Sukan SMR meriah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Hari Sukan Sekolah Menengah Rimba (SMR) antara rumah-rumah kali ke-7 bagi tahun 2019 telah berlangsung pada hari ini di Kompleks Sukan, Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei, Rimba, Gadong.

Juara keseluruhan bagi Hari Sukan SMR disandang oleh Rumah Kampilan, manakala Rumah Pemuras di tempat kedua dan Rumah Sinipit di tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Pengetua SMR, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus.

Acara pada pagi tadi terlebih dahulu dimulakan dengan acara perbarisan lalu rumah-rumah sukan dan dikuti oleh perasmian sukan tahunan oleh pengetua SMR dan bacaan ikrar sukan oleh Muhd Syahiran Saifullah bin Shahrin, pelajar Tahun 11T.

Antara pertandingan sukan larian dan padang yang telah dipertandingkan pada hari ini adalah Larian 4 x 100m Lelaki dan Perempuan, Larian 400m Lelaki dan Perempuan, Larian 200m Lelaki dan Perempuan, Larian 100m Lelaki dan Perempuan, Lontar Peluru Lelaki dan Perempuan, Lontar Lembing Lelaki dan Perempuan dan Lontar Cakera Lelaki dan Perempuan.

Hari Sukan SMR antara rumah-rumah ini diadakan bertujuan sebagai pemilihan para pelajar yang layak untuk mewakili sekolah dalam pertandingan antara sekolah-sekolah pada masa hadapan. Terdapat tiga kategori yang telah dipertandingkan, iaitu Kategori Pelajar Lelaki, Kategori Pelajar Perempuan dan Kategori Guru dan Kakitangan sekolah dalam sukan larian dan padang.

Selain itu, ia juga untuk menggalakkan para pelajar untuk terus bergiat aktif dan menonjolkan bakat terpendam mereka dalam bidang sukan larian dan padang selain juga bertujuan untuk menggalakkan para pelajar menjalani gaya hidup yang sihat dan mendidik dan memupuk sikap kerja berpasukan dan saling berdaya saing secara sihat dalam diri pelajar.

Ahli pasukan Rumah Kampilan bergambar ramai semasa meraikan kemenangan mereka.