Hari Terbuka DBP Temburong meriah

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

TEMBURONG, 10 Feb – Bagi merapatkan hubungan antara perpustakaan dengan agensi luar serta orang awam di samping mempromosikan koleksi perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan, pihak Dewan Bahasa dan Perpustakaan (DBP) Daerah Temburong telah menganjurkan hari terbuka, baru-baru ini.

Hadir bagi merasmikan acara tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu.

Hari terbuka berkenaan merupakan salah satu usaha DBP untuk meningkatkan penggunaan perpustakaan dan mempromosi perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan serta sebagai manifestasi kepada kepentingan perpustakaan sebagai media utama dalam menyebarkan dan mendapatkan sumber maklumat.

Selain memasyarakatkan budaya membaca di kalangan masyarakat Brunei, ia juga diadakan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kepentingan dan menggalakkan masyarakat celik ilmu pengetahuan melalui budaya membaca.

Pelbagai acara menarik berbentuk informatif dan interaktif turut diadakan seperti pameran,jualan dan riadah berbasikal sejauh 10 km yang dikendalikan dengan kerjasama Temburong Pedallers, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Kementerian Kesihatan.

Selain pelbagai acara menarik, orang ramai juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma sambil menyaksikan pameran statik dan Jerayawara Kerjaya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Sebahagian aktiviti yang diadakan pada Hari Terbuka DBP cawangan Daerah Temburong.