Hari Terbuka IBTE dapat sambutan

Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Bagi mendedahkan program-program yang ditawarkan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) mengadakan hari terbuka secara serentak di kesemua kampusnya selama dua hari hingga hari ini.

Sepanjang acara hari terbuka di Kampus Sultan Saiful Rijal, Kampus Jefri Bolkiah, Kampus Sultan Bolkiah, Kampus Nakhoda Ragam, Kampus Mekanikal dan Kampus Sekolah Perdagangan itu, para pengunjung dan bakal penuntut dapat mengetahui dan mendapatkan penerangan lanjut mengenai program-program yang diminati dan yang ditawarkan.

Selain itu, mereka juga dapat mendaftar secara dalam talian setelah membuat sesi konsultasi bersama tenaga pengajar bagi melihat kelayakan dan pencapaian.

Penolong Pendaftar IBTE Kampus Nakhoda Ragam, Dayang Rafaa Nur binti Haji Ranie semasa ditemu bual pada hari terbuka di kampus berkenaan hari ini, berkata acara berkenaan antara lain bertujuan untuk memberikan penerangan serta pendedahan kepada orang ramai serta pemohon-pemohon yang akan mendaftarkan diri mengenai syarat kelayakan, program yang ditawarkan dan untuk memperlihatkan demonstrasi praktikal mengenai kursus yang ditawarkan di kampus tersebut.

Menurut beliau, IBTE Kampus Nakhoda Ragam mempunyai dua buah sekolah iaitu Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan yang menawarkan dua program dan Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan yang menawarkan enam program.

Para pelajar menunjukkan minat masing-masing semasa menyaksikan demonstrasi menaip yang diadakan di IBTE Kampus Sekolah Perdagangan.
ATAS : Pelajar bersama ibu bapanya semasa berkunjung ke hari terbuka IBTE yang diadakan di IBTE Kampus Sekolah Perdagangan Gadong.

Beliau seterusnya menjelaskan, sepanjang tempoh dua hari IBTE dibuka untuk kunjungan orang ramai, acara berkenaan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Sempena Hari Terbuka itu juga, IBTE Kampus Sekolah Perdagangan juga mengadakan demonstrasi menaip secara terbuka yang merupakan salah satu modul untuk HNTec dalam Pentadbiran Pejabat.

IBTE Kampus Sekolah Perdagangan menawarkan beberapa program antaranya NTEc dalam Perniagaan dan Pentadbiran, HNTec dalam Perniagaan & Kewangan dan HNTec dalam Pentadbiran Pejabat. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang acara tersebut adalah sesi konsultasi bersama ibu bapa dan anak-anak mereka bersama para tenaga pengajar kampus. Mereka yang hadir juga turut ditunjukkan bengkel-bengkel dan kemudahan yang disediakan di kampus-kampus berkenaan.