Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Hari Terbuka IPPW meriah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Hari Terbuka Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS (IPPW), yang dianjurkan Pertubuhan WARGAMAS (PW) baru-baru ini di IPPW, Berakas, telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan ahlinya.

    Hari terbuka yang berlangsung selama tiga hari itu diserikan dengan pelbagai aktiviti yang bukan saja disertai oleh ahlinya malah orang awam.

    Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang DiPertua PW, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don.

    Menurut beliau, IPPW telah diadakan buat julung kalinya dan ia diharap dapat diteruskan pada masa-masa akan datang untuk memberi peluang kepada orang ramai mengetahui perkembangan dan usaha yang telah dilaksanakan oleh PW.

    Semasa Hari Terbuka itu, Haji Abu Bakar turut merasmikan Hari Ulang Tahun Pertubuhan WARGAMAS (HUTMAS) kali ke-3.

    Antara aktiviti yang dianjurkan semasa Hari Terbuka IPPW yang diadakan baru-baru ini.

    Antara lain tujuan IPPW adalah memberi peluang kepada ahli PW melihat lebih dekat aktiviti yang dilaksanakan di samping mengukuhkan silaturahim dan saling bertukar-tukar idea bagi memajukan lagi PW.

    Selain itu, ia juga bagi memberi ruang kepada ahli PW menghasilkan dan memberigakan produk mereka dalam usaha meningkatkan sumber ekonomi PW.

    IPPW ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan ekonomi, keagamaan, kebudayaan dan kemasyarakatan melalui ceramah motivasi, program SAFTU dan Bicarawara Ekonomi.

    Di samping itu, hari terbuka berkenaan turut dimeriahkan dengan aktiviti senam sihat dan 1,000 langkah, projek Amal Sedekah Pakaian (PASP), pertandingan menulis kalimah Basmallah dan Syahadat, program kongsi sama Satu Produk Satu Keluarga dan juga ceramah motivasi.

    Haji Abu Bakar turut mengongsikan, PW setakat ini mempunyai 1,050 orang ahli dan beberapa perancangan akan dilaksanakan mengikut keperluan dan kesesuaian semasa.

    Ini termasuk mengadakan perusahaan kecil-kecilan ahli-ahli PW dan pada masa akan datang, PW akan terus mengukuhkan Rancangan Strategik PW dengan pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, kementerian-kementerian lain dan juga pihak swasta.

    “Selain itu, PW juga akan membuat susulan terhadap Program Kolaborasi Keagamaan yang mana PW telah membuat MOU bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...