Hari Terbuka KIGS pamer projek seni

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Program yang ditawarkan di Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) bukanlah ‘terminal’ kerana pelajar boleh meneruskan program peringkat rendah ke program peringkat tinggi dalam institusi yang sama, tanpa memerlukan mereka untuk mencari institusi baharu yang boleh menjadi tekanan kepada sesetengah pelajar terutamanya dalam mendapatkan persekitaran kolej dan teman baharu dengan minat yang sama.

“Nisbah ‘guru ke pelajar’ kami adalah sangat rendah yang membolehkan interaksi yang lebih besar antara pelajar dan guru semasa masa pengajaran, tutorial, sesi bimbingan dan semasa aktiviti pembelajaran tidak formal. Kami percaya bahawa tahap pembelajaran yang tinggi dapat dicapai melalui interaksi yang tinggi antara guru dan pelajar.”

Bercakap pada majlis pelancaran Hari Terbuka 2020 dan Pameran Identiti Vibe, kelmarin ialah Ketua Pegawai Eksekutif KIGS, Dr Haji Azahairani bin Haji Mohd Jamil yang turut menambah bahawa kolej tersebut mempunyai sebilangan besar program untuk dipilih yang boleh memenuhi minat pelajar dalam pendidikan tinggi.

Pada masa ini, kolej berkenaan menawarkan 17 program dalam bidang program Pengajian Perniagaan, Teknologi Maklumat, Multimedia dan Penyiaran, dan Kesenian dan Kemanusiaan, dua program tahap pensijilan yang sedang berjalan, empat program peringkat diploma, tiga program asas dan selebihnya program peringkat sarjana.

Program-program itu bersesuaian dengan keperluan Brunei dan harapan kolej tersebut juga selaras dengan keperluan pelajar mereka.

Dr Haji Azahairani semasa melawat pameran Hari Terbuka KIGS yang diadakan baru-baru ini.

Tiga program baharu dirancang untuk ditawarkan pada Oktober depan, sementara menunggu kelulusan Badan Akreditasi Brunei di mana program-program itu adalah dalam Pengkomputeran Mudah Alih, Diploma Teknologi Maklumat dan Diploma dalam Pengajian Perniagaan.

Jelas beliau lagi, KIGS percaya bahawa program-program itu dapat menyumbang kepada penyediaan sumber manusia untuk menangani persekitaran kerja Revolusi Perindustrian 4.0.

“Bagi tujuan membesarkan kumpulan orang muda yang boleh beroperasi dalam persekitaran kerja ini dan dalam menyokong pembangunan industri kreatif di Brunei Darussalam, kami kini memberi tumpuan kepada program pembangunan yang lebih rendah. Objektifnya adalah untuk membolehkan lebih banyak pelajar dengan satu dan dua ‘O’ Level untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi melalui pelbagai laluan,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa dengan objektif itu, mereka sedang berusaha ke arah institusi yang disahkan ISO supaya program pembangunan dan tawaran program secara sistematik dijalankan dan diuruskan dengan berkesan.

Hari Terbuka KIGS menumpukan kepada ‘Vibe Identity Arts and Design Exhibition’ ke-7 yang mempamerkan projek seni dan reka bentuk pelajar, bagi memberikan ruang untuk pemasaran dan menjual karya seni atau artifak yang berkesan.

Ia juga dilihat mempromosikan industri kreatif sebagai alat penjanaan pendapatan bagi individu dan juga negara yang mereka percaya dapat meningkatkan industri pelancongan.