Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Bersempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25 tahun, Pusat Pembangunan Belia (PPB) telah mengadakan Hari Terbuka #25PPB bertema ‘Mentransformasi Kemahiran Generasi Millennial’ yang berlangsung di pusat berkenaan, di Kampung Tanah Jambu, hari ini.
Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Majlis Hari Terbuka #25PPB bertujuan memberigakan transformasi PPB dari tahun 1992 hingga kini serta untuk memberikan informasi kepada orang ramai mengenai visi, misi, objektif, program, kursus yang ditawarkan di pusat berkenaan sejak 25 tahun penubuhannya.
Di samping itu, ia juga memperkenalkan kursus baru selaras dengan minat dan kehendak generasi millennial serta penerapan ‘upskilling dan reskilling’ berdasarkan kehendak pasaran industri di negara ini.


Ia turut menjadi landasan bagi para lepasan dan pelatih PPB menerapkan kemahiran keusahawanan dengan mengguna pakai kemahiran yang telah diperoleh dan dipelajari.
Hari Terbuka #25PPB itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan lepasan pelatih PPB serta orang awam seperti keusahawanan belia, pameran dan aktiviti #25PPB selain pendaftaran alumni yang dibukakan khusus bagi mengumpulkan kesemua lepasan pelatih PPB. Sempena ulang tahun itu juga, acara sampingan seperti ekspedisi basikalton dan walkaton yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu berbasikal 21 kilometer dan walkaton sejauh tiga kilometer akan diadakan pada 14 Mei 2017 di pusat berkenaan.