Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Dalam usaha memperkenalkan dan mempromosikan program biasiswa dan kolaborasi dengan institusi pendidikan tempatan, Hengyi Industries hari ini mengadakan Hari Terbuka di Dewan Mahligai Airport Mall, Berakas.
Hari terbuka dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) itu juga dihasratkan menjadi platform para belia tempatan melanjutkan pendidikan dan mengasah kemahiran mereka.
Hadir merasmikannya ialah Pengarah Sumber Manusia Hengyi Industries, Alan Goh; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) UBD, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra; Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan dan Pengetua PB, Dr Tang Shi Siong; dan Pemangku Pengarah IBTE, Hajah Mariah binti Haji Abdul Manaf.
Pada acara itu, orang ramai boleh berinteraksi dengan institusi pendidikan terbabit dan Hengyi untuk mengetahui lebih mendalam mengenai biasiswa dan program bersama yang ditawarkan.
Ia juga adalah sebahagian daripada komitmen Hengyi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 dengan mewujudkan masyarakat yang lebih berpendidikan, berkemahiran tinggi, dan berkebolehan melalui kerjasama dalam penganugerahan biasiswa dan program kolaborasi.
Antara kerjasama pernah dijalinkan Hengyi ialah kolaborasi UBD dan Universiti Zhejiang, China melalui Program Biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Pemprosesan selama empat tahun, dengan setengah tahun di China bagi latihan industri. Setakat ini, seramai 103 pelajar telah menerima biasiswa itu. Manakala dengan IBTE dan Lanzhou Petrochemical Polytechnic (LPP), seramai 100 pelajar mendapat biasiswa pada 2018.
Hengyi juga telah memeterai MoU dengan PB baru-baru ini bagi kerjasama tujuh program diploma dengan kerjasama LPP yang salah satu programnya sudah pun bermula Januari lalu manakala program lain bermula pada Julai depan untuk pengambilan pertama.