Hari Terbuka UBD 8 & 9 feb ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menganjurkan Hari Terbuka di Pusat Pelajar, UBD, pada 8 dan 9 Februari ini sempena Ekspo Pendidikan Tinggi 2020.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, hari ini, semasa acara yang dibukakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu, orang awam boleh meneroka kampus dan mengetahui lebih lanjut mengenai program-program yang ditawarkan.

Dengan kehadiran perwakilan fakulti pada acara itu, bakal-bakal pelajar boleh berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli akademik, mendapatkan maklumat lebih mendalam mengenai program-program yang terdapat di UBD dan melihat sendiri kehidupan pelajar.

Wakil setiap fakulti akan sedia membincangkan pelbagai perkara termasuk syarat kemasukan, kemudahan serta inovasi-inovasi terkini terutamanya bagi mereka yang berminat dalam membawa idea-idea baharu ke dalam bidang-bidang penyelidikan.

Selain itu, semasa acara itu, kelab-kelab kokurikulum akan menunjukkan aktiviti-aktiviti mereka. Bakal-bakal pelajar akan dapat melihat bagaimana kampus berkenaan menggalakkan pembangunan holistik di samping kecemerlangan akademik.

Acara itu juga merupakan peluang baik bagi pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai program-program UBD bagi sarjana muda, sarjana dan modul-modul pembelajaran sepanjang hayat.

Ia juga peluang untuk mengetahui mengenai program Tahun Penemuan di mana pelajar menghabiskan masa dua semester belajar di luar negara, terlibat dalam program outreach komuniti, mendapatkan pengalaman menerusi penempatan atau dalam inkubasi.