Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Harila azam ubah persepsi terhadap pendaki gunung wanita

    Gambar AFP

    KATHMANDU – Apabila pendaki Norway, Kristin Harila melangkah ke puncak Cho Oyu bulan ini, dia akan menjadi wanita terpantas mendaki kesemua 14 puncak 8,000 meter di dunia.

    Namun dia tidak menguaruarkan mengenai gelaran baharunya dan tidak berminat dengannya.

    “Saya fikir ia adalah sangat penting bahawa ia bukan sahaja (gelaran) wanita terpantas tetapi ia adalah orang terpantas,” kata Harila kepada AFP.

    “Wanita juga boleh mengambil rekod orang terpantas, bukan hanya sentiasa mempunyai rekod wanita terpantas.”

    Kini, pendaki berusia 37 tahun itu ingin melakukan perkara yang sama.

    Harila menyusun peralatan pendakiannya selepas temu bual dengan AFP di sebuah hotel di Kathmandu.
    Harila menyusun peralatan pendakiannya selepas temu bual dengan AFP di sebuah hotel di Kathmandu.
    Gambar fail bertarikh 31 Mei 2021 menunjukkan Banjaran Himalaya yang dilihat dari puncak Gunung Everest di Nepal.
    Gambar bertarikh 8 Mei 2023 menunjukkan Harila mencuba but memanjat selepas temu bual dengan AFP di sebuah hotel di Kathmandu.
    Gambar fail yang diambil pada 7 Mac 2023 ini menunjukkan pemandangan udara puncak Gunung Everest dari helikopter.

    Pendaki dan pemandu lelaki jauh melebihi bilangan wanita di peringkat teratas pendakian gunung, dengan hanya segelintir wanita yang mendapat perhatian dan tajaan untuk ekspedisi mereka.

    Lebih daripada 40 orang telah menawan 14 puncak tertinggi dunia, hanya beberapa daripadanya adalah wanita.

    Tahun lalu, walaupun sudah terbukti kehebatannya mendaki, Harila bergelut untuk mendapatkan penaja, memaksanya menjual apartmennya untuk membiayai pendakiannya.

    “Saya fikir untuk melakukan projek ini, jika saya seorang lelaki adalah lebih mudah,” katanya.

    “Ia adalah berbeza untuk menjadi seorang wanita di dunia, bukan hanya dengan tajaan.”

    Tahun ini, bagaimanapun, Harila dibiayai oleh beberapa syarikat, termasuk jam tangan Bremont dan pengeluar beg galas Osprey, untuk percubaan baharunya, yang digelarnya sebagai ekspedisi ‘She Moves Mountains’.

    Rekod itu sendiri tidak bermakna baginya, katanya, tetapi dia mahu mengubah persepsi orang ramai terhadap wanita pendaki gunung.

    “Saya fikir itu penting dan berharap projek itu akan memberi inspirasi dan memudahkan wanita lain selepas saya,” katanya.

    “Untuk membuktikan bahawa kami sebenarnya boleh lakukan dan memecahkan rekod serta mendapatkan tajaan dan memperoleh wang daripadanya.”

    Kedai perabot

    Harila berasal dari Vadso, di Laut Barents, bahagian paling utara Norway, di mana puncak tertingginya hanya 633 meter.

    Dia tidak mendaki sejak kecil, sebaliknya mendedikasikan dirinya kepada bola sepak, bola baling dan ski merentas desa.

    Hanya pada 2015 apabila dia memenangi lawatan ke Kilimanjaro di Tanzania daripada majikannya, rangkaian kedai perabot, ketika itu barulah dia menemui minatnya.

    Dia menjadi tajuk utama pada 2021 kerana menjadi wanita terpantas mengembara antara puncak Everest dan Lhotse di Nepal, dan tahun lalu cuba membuat rekod pendakian pantas 8,000 meter, tetapi percubaannya dihalang oleh pegawai China.

    Dia mendaki lima daripada 14 puncak tertinggi dalam hanya 69 hari, tetapi selepas 12 puncak dia tidak dapat mendapatkan permit pendakian China kerana sekatan koronavirus Beijing.

    Salah satu gunung setinggi 8,000 meter, Shishapangma terletak sepenuhnya di Tibet, manakala satu lagi, Cho Oyu biasanya didaki dari sebelah China.

    Tahun ini, dia bermula dengan dua gunung tersebut.

    Jika puncak Cho Oyunya dikira sebagai puncak ke-14 dalam kitaran yang dimulakannya pada 2022, dia mengambil masa setahun dan lima hari untuk menyiapkan set itu.

    Tetapi bermula dari pendakian Shishapangma pada April, dia mempunyai masa sehingga 31 Oktober untuk mengatasi rekod pengembara British kelahiran Nepal, Nirmal Purja selama enam bulan dan enam hari, yang dicipta pada 2019.

    Menjelang akhir Jun, Harila menyasarkan untuk menakluki semua lapan daripada puncak 8,000 meter di Nepal, termasuk Everest.

    “Matlamat saya adalah untuk melakukannya dalam masa kurang daripada enam bulan,” katanya.

    “Jadi, apabila kami tidak mendapat permit tahun lepas, saya memutuskan untuk melakukannya sekali lagi tahun ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...