Harimau bintang dijangkiti COVID-19

SAN DIEGO, 25 JULAI – Seekor harimau bintang di Zoo San Diego telah dijangkiti COVID-19.

Penjaga zoo mendapati Ramli, seekor harimau bintang jantan berusia 9 tahun, mengalami batuk-batuk dan selesema pada Khamis. Kemudian, dua ujian berasingan ke atas sampel najis mengesahkan kehadiran koronavirus, kata zoo dalam satu kenyataan.

Ramli tidak menunjukkan gejala lain, menurut zoo, namun disebabkan ia berkongsi kurungan sama dengan seekor harimau bintang betina dan dua harimau bintang Amur, pekerja mengandaikan haiwan berkenaan telah terdedah.Akibatnya, kesemuanya dikuarantin dan pameran ditutup.

Masih tidak jelas bagaimana Ramli dijangkiti.

Pada Januari, sekumpulan lapan gorila di Taman Safari Zoo San Diego dijangkiti COVID-19 daripada seorang penjaga zoo yang dijangkiti virus berkenaan tetapi tidak menunjukkan gejala.

Kes tersebut mendorong zoo mendapatkan vaksin uji kaji COVID-19 untuk haiwan untuk kegunaan kecemasan. Vaksin Zoetis, syarikat kesihatan haiwan yang membentuk sebahagian daripada Pfizer, diberikan kepada spesies haiwan yang paling mudah dijangkiti COVID-19, termasuk beberapa haiwan primat dan harimau.

Bagaimanapun, Ramli belum diberi vaksin sebelum dijangkiti.

Tidak adanya peraturan vaksin untuk kakitangan, tetapi pekerja yang belum mendapatkan vaksin diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa, kata zoo. – AP

Gambar serahan Zoo San Diego menunjukkan Ramli berehat di Zoo San Diego, San Diego. Ramli diuji positif dijangkiti koronavirus selepas mengalami batuk-batuk dan selesema pada 22 Julai 2021. – AP