Harimau bintang ditembak mati selepas serang polis

TEHRAN, 24 APRIL– Seekor harimau bintang ditembak mati di Bandar Ghaemshahr, utara Iran pada hari ini selepas menyerang dan mencederakan seorang anggota polis, lapor media kerajaan.

Kucing besar terancam itu “dibunuh menggunakan dua peluru demi menyelamatkan nyawa pegawai polis,” kata Ketua Unit Perlindungan Alam Sekitar wilayah Mazandaran, Moslem Ahangari, menurut agensi berita IRNA.

Keadaan pegawai polis itu dilaporkan “stabil,” tambahnya.

Sebelumnya, jurucakap perlindungan alam sekitar wilayah itu, Kamyar Valipur, telah melaporkan bahawa harimau bintang itu telah ‘’menyerang dan mencederakan seorang anggota polis sebelum diri ke taman”, lapor IRNA.

Harimau bintang itu kemudian dibawa ke pusat hidupan liar tetapi mati akibat luka tembakan.

Sebuah video yang disiarkan dalam media sosial menunjukkan harimau bintang itu tersungkur di jalan bandar di luar sebuah bank. Disebabkan panik, haiwan itu melompat beberapa saat kemudian, dan lari. Menurut imej, penduduk dilihat ketakutan, menjerit dan berlari lintang-pukang.

Menurut agensi IRNA, jabatan alam sekitar wilayah itu sedang menyiasat samada haiwan itu memasuki bandar dari kawasan hutan atau dipelihara secara haram dalam sebuah rumah.

Harimau Parsi itu disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi. – AFP