NEW DELHI, 2017 – Pembuat kereta terbesar India, Maruti, telah menghentikan operasi sebuah daripada kilangnya yang terletak berhampiran ibu negara selepas seekor harimau bintang dilihat berlegar-legar dalam premis itu, lapor agensi berita China, Xinhua.
Seorang pegawai kanan berkata visual harimau bintang itu telah dirakam oleh satu daripada kamera litar tertutup yang dipasang di kilang pembuat kereta berkenaan di Manesar, 50 kilometer dari Delhi.
“Syif pagi kilang itu terpaksa dibatalkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini dan beratus-ratus pekerja telah dihantar pulang,” katanya.
Sementara itu, para pegawai hidupan liar telah melancarkan satu gerakan besar-besaran untuk mengesan harimau bintang tersebut di kilang itu, yang terletak di negeri Haryana.
“Satu pasukan tujuh anggota telah diberikan tugasan tersebut. Mereka dilengkapi ubat penenang bagi melemahkan harimau bintang itu sebelum menyelamatkannya,” kata konservator hidupan liar tempatan Vinod Kumar kepada media.
Manesar terletak berhampiran kawasan pergunungan Aravalli dan para pegawai hidupan liar berkata haiwan itu mungkin dari hutan yang terdapat di sekitar kaki gunung berkenaan.
“Harimau bintang itu mungkin turun dari hutan Aravalli. Kami akan cuba menyelamatkannya dan membebaskannya di kawasan hutan,” kata seorang pegawai hidupan liar yang lain.
Maruti Suzuki, sebuah syarikat usaha sama antara Maruti dan Suzuki Motor Corporation dari Jepun, menguasai lebih 50 peratus pasaran kereta yang berkembang pesat di India.