Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 20 Sept – Penduduk Kampung Sungai Teraban dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan ahli keluarga masing-masing terjamin daripada sebarang perkara yang tidak diingini.
Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Marsidi bin Haji Mohd Sara, semasa dihubungi Media Permata berkata, ini adalah berikutan seekor binatang buas yang dipercayai seekor harimau bintang dilihat oleh beberapa orang pekerja kontraktor Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP) di kawasan Stesen Rasau menuju ke kawasan simpang selekoh ke kampung berkenaan kelmarin.
Menurutnya, beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan terus bertindak mengarahkan ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung serta Timbalan Pengerusi II untuk mengeluarkan surat pemberitahuan mengenai perkara itu bagi menjaga keselamatan penduduk di sekitarnya.