Harimau Kumbang sasar dua terbaik Liga Premier 2020

GEORGE TOWN, 21 FEB – Pulau Pinang meletakkan sasaran muncul dua pasukan terbaik dalam saingan Liga Premier musim ini bagi mencerahkan peluang beraksi pada Liga Super tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah, yakin sasaran itu mampu dicapai dengan gandingan pemain muda dan berpengalaman di bawah bimbingan ketua jurulatih Manzoor Azwira Abdul Wahid.

“Pasukan yang lebih mantap berbanding tahun lalu berupaya mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada musim ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi baharu skuad Harimau Kumbang oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.

Pulau Pinang akan menggunakan tiga warna jersi rasmi bagi menghadapi saingan Liga Premier musim ini iaitu biru sebagai jersi di gelanggang sendiri, kuning di gelanggang lawan dan merah sebagai jersi alternatif. Skuad Harimau Kumbang akan membuka tirai liga dengan menentang Sarawak United FC di Stadium Bandaraya, di sini, 1 Mac ini.

Terdahulu, Chow mengumumkan kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan RM8 juta kepada FAP dalam menguruskan pasukan tersebut dalam menghadapi kempen musim ini.

Sementara itu mengenai isu tunggakan gaji pemain, beliau berkata pihak pengurusan telah berjaya menyelesaikan tersebut dan kini giliran pemain menunaikan tanggungjawab mereka dengan menampilkan aksi yang terpuji musim baharu ini. – Bernama