GEORGE TOWN, 24 SEPT – Skuad Harimau Kumbang bersedia menghadapi saingan piala tertua Asia Tenggara, Piala Malaysia yang membuka tirai Ahad ini, berdepan Sarawak United FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Ketua Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha mengaku pasukan kendaliannya menerima tekanan selepas berjaya merangkul tempat ketiga dalam Liga Super 2021 namun menganggapnya sebagai satu perkara positif.
Katanya, kejayaan tersebut meletakkan Penang FC sebagai pesaing yang kuat di mata pasukan lawan, maka ia memberikan tekanan dan motivasi untuk pasukannya terus mara dalam perlawanan akan datang.
“Saya yakin bahawa perlawanan akan datang jadi lebih mencabar terutamanya apabila berdepan dengan pasukan yang telah menunjukkan prestasi baik. Ada juga pasukan yang ingin menebus pencapaian mereka dalam saingan lepas, jadi cabarannya tinggi buat Penang FC,” katanya kepada Bernama dalam temu ramah menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Mengulas lanjut, Trucha berkata pihaknya tidak mempunyai senarai tetap pemain kesebelasan utama dan pemain simpanan, sebaliknya ia bergantung kepada prestasi dan kerja keras para pemain sepanjang latihan dan perlawanan persahabatan. – Bernama