KUALA LUMPUR, 12 JUN – Kekalahan 1-2 kepada Bahrain dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2023 kelmarin, tidak menjejaskan fokus Skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan terakhir Kumpulan E bertemu Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa nanti.
Penyerang skuad kebangsaan Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad berkata sebagai pemain profesional, kekalahan itu perlu segera dilupakan kerana fokus kini adalah memburu kemenangan pada perlawanan terakhir itu bagi membolehkan pasukan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
“Walaupun mendahului, kita belum tentu boleh menang selagi wisel penamat belum dibunyikan, itulah bola sepak, yang paling penting untuk perlawanan terakhir kita kena menang, tiada alasan.
“Berdepan Bangladesh, sesiapa pun yang main saya tidak peduli, yang penting kita menang untuk layak ke pusingan seterusnya (pusingan akhir Piala Asia 2023),” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Bahrain di Stadium Nasional, kelmarin.
Pemain tengah Mohamed Syamer Kutty Abba pula berkata Malaysia sepatutnya memenangi perlawanan menentang Bahrain dan prestasi baik yang ditunjukkan dalam perlawanan itu mesti diteruskan ketika menentang Bangladesh. – Bernama