Harimau Malaya terus optimis cipta rekod

KUALA LUMPUR, 13 NOV – Tidak mustahil untuk skuad Harimau Malaya mencipta kejayaan di laman sendiri menundukkan pasukan kedua terbaik di Asia Tenggara, Thailand, pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Namun, bagi merealisasikan hasrat seluruh peminat dan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, kunci utama yang perlu ada pada skuad bimbingan Tan Cheng Hoe – satu hati.

Ini diakui sendiri tonggak pertahanan negara Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak yang optimis Malaysia mampu meraih kemenangan berharga sekiranya pemain menanam keazaman tinggi untuk menyekat penguasaan pasukan pelawat.

“Siapa pun lawan kita, kita tetap lawan. Kita tidak akan beri perjalanan yang mudah buat pasukan Thailand. Apa yang penting esok adalah bagaimana pemain hendak bersatu hati sebagai satu pasukan.

“Bagi saya, dalam dunia bola sepak tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan…Liverpool pun boleh kalah jadi bagi saya ia tidak mustahil (kalahkan Thailand),” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Mohamad Aidil Zafuan ketika beraksi pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia baru-baru ini. Mohamad Aidil Zafuan optimis Malaysia mampu meraih kemenangan berharga sekiranya pemain menanam keazaman tinggi untuk menyekat penguasaan pasukan pelawat. – Bernama

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui Thailand bukan calang-calang pasukan memandangkan mereka dibarisi pemain berkualiti di samping jurulatih baharu dari Jepun Akhira Nishino serta menduduki ranking ke-109 dunia.

Tetapi beliau tetap yakin dengan persiapan skuad kebangsaan yang sudah mengkaji corak permainan Gajah Perang itu dari segi kelebihan mahupun kelemahan yang boleh dimanfaat para pemain Harimau Malaya.

“Pasukan Thailand kali ini berbeza dengan pasukan di Kejuaraan AFF 2018. Mereka kini dibarisi ramai muka baharu dan juga jurulatih baharu.

“Kita telah mengkaji permainan mereka dan memang ada kelebihan serta kelemahan dalam pasukan itu,” tambahnya.

Malaysia kini mengumpul tiga mata dan menduduki tempat keempat dalam Kumpulan G, dibezakan empat mata dengan pendahulu Thailand yang berkongsi mata dengan Vietnam.

Malaysia melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta sebelum tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil dan tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi, bulan lepas. – Bernama