Friday, August 12, 2022
26.5 C
Brunei

Harimau Malaya wajib menang menentang Indonesia

-

KUALA LUMPUR, 16 DIS – Skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain selain perlu meraih tiga mata penuh menentang Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B bagi menjamin peluang menempah slot ke separuh akhir Piala AFF 2020 di Singapura, Ahad ini.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya tugas getir bakal menanti mereka untuk merobek gawang Indonesia kerana pasukan lawan hanya memerlukan satu mata untuk layak ke peringkat seterusnya dan dijangka bermain dengan corak bertahan seperti ditampilkan ketika terikat tanpa jaringan bertemu juara bertahan, Vietnam, malam tadi.

Cheng Hoe juga menuntut barisan pemainnya agar percaya antara satu sama lain selain mempunyai corak pemikiran positif untuk melakar kemenangan ke atas musuh tradisi itu pada aksi hidup mati di Stadium Nasional Singapura.

“Apa yang penting, kita kena turun padang dengan semangat serta persediaan terbaik menghadapi Indonesia kerana mereka perlu seri sahaja menentang kita,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Beliau juga mahu anak buahnya segera menyesuaikan diri dengan situasi perlawanan terutamanya dari segi taktikal kerana skuad Garuda juga mampu bermain secara menyerang berdasarkan persembahan dalam dua perlawanan awal menyaksikan mereka menang 4-2 ke atas Kemboja sebelum membelasah Laos 5-1.

Walaupun Indonesia dilihat mempunyai kelebihan dari segi barisan pemain muda yang ternyata bersemangat tinggi dan mempunyai kepantasan, Cheng Hoe menggesa pemainnya agar tidak berfikiran negatif dan mahu mereka bekerja keras selain merantai pergerakan lawan terutama ketika berdepan serangan balas.

Pengendali berusia 53 tahun itu turut memaklumkan telah bertemu dengan pemain dari kelab Denmark, Midtjylland FC, Dion Cools, yang baru tiba di Singapura pagi ini dan menyatakan tonggak pertahanan itu mempunyai motivasi tinggi untuk membantu Malaysia menentang Indonesia.

Mengenai status terkini Mohd Akhyar bin Abdul Rashid yang disahkan positif COVID-19 baru-baru ini, Cheng Hoe menjangkakan pemain sayap itu akan menamatkan tempoh kuarantin esok dan dijadualkan menyertai semula latihan pada sesi tengah hari manakala seorang lagi pemain, Junior Eldstal yang disisihkan akibat kecederaan juga bakal sembuh dalam masa tiga hari.

Beliau mengesahkan kapten, Mohd Aidil Zafuan bin Abd Radzak serta gandingannya, Shahrul bin Mohd Saad, yang mengemudi benteng pertahanan tengah Malaysia tidak sempat pulih daripada kecederaan menjelang pertemuan Ahad ini dan akan menilai tahap kecederaan mereka sekiranya skuad kebangsaan Malaysia berjaya layak ke separuh akhir. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -