PETALING JAYA, 10 JAN – Skuad bola sepak lelaki Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan akan diberi peluang menggantikan pasukan senior dalam perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata pihaknya berdepan kekangan untuk menghantar skuad senior bagi mengisi slot berdasarkan kalendar FIFA pada 24 Januari hingga 1 Februari ini, susulan faktor ketiadaan jurulatih selain pasukan tempatan yang dilihat giat menjalankan persediaan awal musim Liga Malaysia (Liga-M) 2022.
“Pasukan B-23 yang membuat persiapan bagi menghadapi Piala AFF 2022 B-23 di Kemboja, Februari depan akan gunakan Kalendar FIFA kali ini (24 Januari hingga 1 Februari).
“Kita telah tulis surat ke beberapa buah negara untuk dapatkan perlawanan persahabatan antarabangsa bersama pasukan B-23 mereka ataupun kelab negara terlibat,” katanya pada sidang media ketika Taklimat Pasukan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 hari ini.
Turut hadir Naib Presiden FAM Mohd Firdaus Mohamed.
Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata FAM akan berbincang dengan pasukan kelab atau negeri agar dapat melepaskan pemain mereka secara lebih teratur bagi membuat persiapan mengharungi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei ini diikuti Piala Asia 2022 yang akan berlangsung di Uzbekistan, Jun ini. – Bernama