Harimau Sumatera dijangkiti COVID-19 beransur pulih

JAKARTA, 1 OGOS – Dua ekor harimau Sumatera sudah beransur pulih di sebuah zoo Jakarta selepas dijangkiti koronavirus, kata para pegawai hari ini, ketika mereka menyiasat bagaimana haiwan terancam itu jatuh sakit.

Tino yang berusia sembilan tahun serta Hari, 12 tahun, disahkan positif pada pertengahan Julai selepas menunjukkan gejala seperti flu, sukar bernafas dan hilang selera makan.

Bagaimanapun, kedua-dua haiwan jantan itu semakin pulih selepas mendapat rawatan.

“Kedua-dua harimau itu sudah sihat sekarang. Selera makannya sudah kembali normal dan ia juga sudah aktif,” kata ketua Perkhidmatan Taman dan Perhutanan Jakarta, Suzi Marsitawati.

Zoo Ragunan ditutup sejak Jun lalu susulan lonjakan kes COVID-19 di seluruh Indonesia. – AFP

Gambar yang disiarkan 1 Ogos menunjukkan harimau Sumatera dalam kurungan di Zoo Ragunan di Jakarta. – AFP