Harimau terancam mati dalam jerat

PEKANBARU, INDONESIA, 19 OKT – Seekor harimau Sumatera yang ter-ancam telah didapati mati selepas terperangkap dalam jerat di pulau Sumatera, Indonesia, pihak berkuasa berkata semalam, tamparan terkini bagi spesies yang jumlahnya dianggarkan berkurangan kepada kira-kira 400.

Harimau betina berkenaan, berusia antara empat dan lima tahun, ditemui mati pada Ahad dekat rizab hidupan liar Bukit Batu di daerah Bengkalis, wilayah Riau, kata ketua agensi pemuliharaan Riau, Fifin Arfiana Jogasara.

Jogasara berkata, pemeriksaan menentukan bahawa harimau berkenaan mati akibat penyahhidratan lima hari selepas terperangkap dalam jerat, nampaknya dipasang oleh pemburu haram, yang mematahkan salah satu kaki haiwan berkenaan.

Beliau berkata, agensinya akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-udang dalam siasatan.

Tekanan terhadap harimau-harimau Sumatera, sub spesies harimau yang paling terancam, semakin meningkat disebabkan pemburuan haram sementara habitat hutan haiwan itu mengecil, menurut Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. Ia menganggarkan kurang daripada 400 harimau Sumatera hidup liar.

Ia adalah pembunuhan terkini haiwan-haiwan terancam di pulau Sumatera. Penyokong pemuliharaam berkata, pandemik koronavirus telah membawa kepada peningkatan pemburuan haram apabila penduduk kampung beralih kepada memburu atas sebab ekonomi. – AP

Anggota Agensi Pemuliharaan Sumber-sumber Semula Jadi memeriksa seekor harimau Sumatera yang ditemui mati selepas terperangkap dalam jerat di Pekanbaru, wilayah Riau, Indonesia pada 17 Oktober. – AP