KUALA LUMPUR – Tempias watak Sanjeet dalam filem pecah panggung, Ola Bola membawa Haris Zainuddin, 21, melangkah lebih jauh dalam bidang seni.
Mengaku mula jatuh cinta dengan dunia lakonan, Haris yang berdarah kacukan Melayu-Bosnia, semakin menjadi pilihan penerbit.
“Kalau dulu, hidup saya lebih kepada pengajian. Malah, ketika berlakon filem Ola Bola, saya masih menuntut di sebuah kolej dalam bidang diploma kejuruteraan mekanikal. Sekarang, saya sudah tamat belajar. Saya merancang hendak menyambung pengajian peringkat ijazah, akhir tahun ini mungkin dalam bidang lain. Jadi, saya boleh tumpukan perhatian kepada dunia lakonan sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, Haris memberitahu, selepas Ola Bola, dia tidak lagi ditawarkan berlakon filem.

“Kebanyakan tawaran saya dapat lebih untuk televisyen (TV). Filem belum ada rezeki lagi. Saya sedar persaingan itu lebih besar bagi pasaran filem. Tapi tak mengapa, siapa tahu saya akan berlakon filem lagi,” katanya yang dilahirkan di Kuching, Sarawak.
Ketika ini, Haris sedang menunggu siaran telefilem Cinta Tanpa Syarat arahan Thumb Shuhaimi.
“Turut berlakon dalam telefilem itu ialah Harris Baba dan Elfira Loy. Cuma saya belum tahu stesen TV mana yang akan menyiarkannya,” katanya.
Menurut Haris, adik tirinya juga meminati dunia seni. “Dia meminati bidang pengarahan dan sedang menuntut di London,” katanya.