Harry Kane kejutkan Juventus

SINGAPURA, 22 JULAI – Harry Kane menjaringkan gol kemenangan menarik pada minit ke-93 dari separuh padang ketika Tottenham Hotspur menundukkan Juventus 3-2 dalam aksi persahabatan pra-musim yang menghiburkan di Singapura, Ahad lalu.

Kapten England itu membuat hantaran dekat Lucas Moura dan meledak dari separuh padang sehingga bola meninggalkan penjaga gol gantian Wojciech Szczesny ketika Spurs mengalahkan juara Itali di bawah kendalian Maurizio Sarri di Stadium Kebangsaan Singapura.

“Ini mungkin salah satu jaringan terbaik dalam kerjaya saya. Saya melihat penjaga gol sering keluar dari barisannya dan saya memikirkan peluang untuk merembat dan ia mengena,” kata Kane dalam temuramah selepas perlawanan.

Spurs mudah mendominasi separuh masa pertama ketika Juventus berjuang untuk menyesuaikan diri dengan taktik ‘bola Sarri’ yang melakukan hantaran pantas.

Juventus sering mendapati mereka bertahan sedaya-upaya selepas Spurs menguasai permainan dengan kelab Liga Perdana Inggeris terus menekan pada babak kedua.

Son Heung-min memulakan langkah dengan baik dan memberikan hantaran kepada Troy Parrott cuba membolosi Gianluigi Buffon di gawang Juventus dengan rembatan rendah tetapi bola muntah dari penjaga veteran memberi ruang kepada Erik Lamela untuk menyumbat gol.

“Ia adalah permainan yang amat bagus dan kompetitif. Secara jujur, kami masih belum cukup persediaan dan saya tidak bercadang untuk bermain seperti ini pada awal musim.

“Kami masih berharap dapat memberikan beberapa pemain lebih banyak rehat selepas kempen yang panjang,” kata pengurus Spurs, Mauricio Pochettino.

“Keputusannya bukanlah perkara yang paling penting hari ini. Persembahan dan bagaimana kami meneruskan persediaan untuk musim yang akan datang adalah perkara utama dalam perancangan kami.” – AFP

Kane meraikan jaringan kemenangan bersama rakan sepasukan semasa menentang Juventus di Singapura, kelmarin. – AP