Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Harry Maguire terima ancaman bom

    LONDON, 22 APRIL – Kediaman Harry Maguire telah diperiksa oleh polis kelmarin selepas kapten Manchester United itu menerima ugutan bahan letupan.

    Pemain pertahanan England, Maguire, yang tinggal bersama tunang dan dua orang anaknya telah mengharungi musim yang sukar bersama kelab dan negara tetapi tidak diketahui identiti individu yang membuat ugutan berkenaan.

    Rumah pemain berusia 29 tahun itu diperiksa oleh polis Cheshire bagi memastikan keselamatannya.

    “Dalam 24 jam terakhir, Harry telah menerima ancaman serius terhadap rumah keluarganya,” kata jurucakap Maguire.

    “Dia telah melaporkan perkara tersebut kepada polis yang kini sedang menyiasat insiden berkenaan.

    “Keselamatan keluarganya dan orang di sekelilingnya jelas menjadi keutamaan yang pertama bagi Harry.

    “Dia akan terus membuat persiapan untuk perlawanan pada hujung minggu ini seperti biasa dan kami tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu buat masa ini,” tambah jurucakap Maguire.

    Menurut kenyataan polis Cheshire pada hari Rabu 20 April, polis Cheshire telah menerima panggilan mengenai ugutan bahan letupan di sebuah kawasan kediaman di daerah Wilmslow.

    Tiada pemindahan berlaku, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, seekor anjing pengesan bahan letupan telah membuat pemeriksaan pada petang kelmarin untuk menjalankan pencarian di taman dan kawasan sekitarnya.

    Kerisauan mengenai bahan letupan adalah isu terbaharu untuk Maguire, yang telah menerima kritikan daripada pakar dan cemuhan penyokong England pada musim ini. – AFP

    Gambar fail menunjukkan reaksi Harry Maguire semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Everton dan Manchester United, 9 April. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...