Penyanyi, Harry Styles dan teman wanitanya, Olivia Wilde dilaporkan sudah membawa haluan masing-masing hanya selepas dua tahun menjalinkan hubungan cinta.
E! News melaporkan pasangan itu sepakat membuat keputusan berkenaan berikutan masing-masing mempunyai komitmen tersendiri sehingga membuatkan mereka sukar bersama.
Harry ketika ini sibuk dengan konsert jelajah dunia manakala Olivia memberi fokus kepada dua anaknya dan menetap di Los Angeles.
Sebelum bercinta dengan Harry, Olivia yang juga seorang pelakon bertunang dengan Jason Sudeikis dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Otis, 8 dan Daisy, 6.
Laporan sebelum ini menyebut, Olivia dan bintang, Ted Lasso itu mengakhiri pertunangan sembilan tahun mereka pada November 2020 selepas Harry terlibat dalam penggambaran filem Don’t Worry Darling.
Pada Disember tahun sama, Olivia memberitahu majalah Vogue, dia menari kegembiraan apabila mendapat tahu Harry bersetuju berlakon dalam filem tersebut yang turut memperlihatkan aktres itu bertindak sebagai pengarah. – Agensi