LONDON, 8 Ogos – Joe Hart berkata, ia merupakan masa yang tepat untuk meninggalkan Manchester City selepas Burnley mengumumkan kelmarin bahawa beliau telah menandatangani bekas penjaga gol England itu bagi perjanjian dua tahun.
Hart telah beraksi hampir 350 perlawanan untuk juara bertahan itu dan menempatkannya sebagai penjaga gol utama bagi kelab dan negara tetapi kehilangan tempat selepas Pep Guardiola mengambil alih sebagai pengurus City pada 2016.
Selepas dua musim dipinjamkan ke Torino dan West Ham, penjaga gol itu berusaha untuk mengorak langkah lagi.
Pemain berusia 31 tahun itu yang dilaporkan bernilai AS$4.5 juta itu gagal untuk menjadi sebahagian daripada skuad England di Piala Dunia meskipun beraksi di peringkat kelayakan.
“Ia setentunya masa yang sesuai untuk saya pergi,” beritahu Hart kepada Clarets Player. “Mereka (Manchester City) sangat menakjubkan dan saya gembira untuk mereka. Mereka perlu meneruskan perjuangan dan begitu juga dengan saya.
“Saya merasa bagus. Saya berada di tempat yang betul dan tiba masanya untuk beraksi.”
Hart mengumpul 75 kap bersama England, berdepan saingan untuk merebut jersi nombor satu di Burnley. Beliau akan bersaing dengan dua rakan senegaranya, Nick Pope dan Tom Heaton serta Anders Lindegaard.
Mendapatkan seorang penjaga gol merupakan perkara penting untuk pengurus Burnley, Sean Dyche selepas Pope terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan bahu sementara Heaton juga tergelut untuk mencapai kecergasan.
Burnley beraksi dalam kelayakan Liga Europa berdepan Istanbul Basaksehir esok dan memulakan kempen Liga Perdana menentang Southampton pada Ahad ini. – AFP