Harta benda lesap, pelaku dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seorang lelaki yang secara tidak jujur melesapkan harta benda berupa alat gerudi Bosch serta pengecasnya, dihukum dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.

Majistret Hajah Noor Amalina binti Dato Paduka Haji Alaihuddin memutuskan hukuman itu terhadap Awangku Muhd Khairul Anuar bin Pengiran Haji Bakar, 25, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan itu antara 29 November dan 3 Disember 2018.

Kejadian bermula apabila tertuduh meminta bantuan rakannya untuk membaiki kunci tingkap rumahnya, yang mana rakannya meminjam alat gerudi daripada majikannya.

Selepas membaiki kunci tingkap dan juga memasang pintu, rakan tertuduh memutuskan untuk bermalam di rumah tertuduh.

Tertuduh menghantar rakannya pulang keesokan harinya dan sebaik sampai di rumah, rakannya baru menyedari yang alat gerudi itu tertinggal di rumah tertuduh.

Tertuduh tanpa mengembalikan alat gerudi itu telah menjualnya pada harga $45 kepada pembeli yang ditemuinya melalui Facebook. Tertuduh menggunakan wang itu untuk membayar hutangnya.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.