Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hartanah berkonsep unik bakal lonjak ekonomi Kulim

    KULIM – “Cantik dan ceria tapi kenapa kebanyakan rumahnya nampak macam tadika?” tertanya di fikiran penulis ketika mengunjungi sebuah taman perumahan di Kulim, Kedah.

    Namun, persoalan terjawab apabila diberitahu bahawa banglo berwarna-warni itu bukanlah tadika sebaliknya kemudahan inap desa yang diusahakan oleh pemaju perumahan berkenaan.

    Pernah melintasi kawasan itu yang terletak di Padang Meha, tidak jauh dari Butterworth-Kulim Expressway itu beberapa tahun dahulu, keadaan di situ kini ternyata telah melalui perubahan drastic.

    Kawasan yang terbengkalai bagaikan untuk selamanya itu kini kelihatan ‘hidup’ dengan lanskap indah. Banglo-banglo setingkat dan dua tingkat, kebanyakannya dicat dengan warna ceria, ada yang berbelang-belang, bercorak pelbagai bentuk geometrik, malah ada yang bermotifkan kumbang, rama-rama, bunga-bungaan serta watak kartun.

    Kawasan perumahan fasa pertama MBI Desa Ku (Desa Ku) itu, terbengkalai sejak 2008, akhirnya siap pada akhir tahun lepas dan kini pesat membangun dengan suntikan konsep berbeza dan amat menarik.

    Taman Jepun MBI Desa Ku yang kerap menjadi tumpuan masyarakat MBI Desa Ku terutamanya pada hujung minggu untuk bersantai bersama keluarga. – Bernama
    Taman Jepun MBI Desa Ku yang kerap menjadi tumpuan masyarakat MBI Desa Ku terutamanya pada hujung minggu untuk bersantai bersama keluarga. – Bernama

    Bagaikan bonus

    Ibarat mendapat pelangi selepas hujan, Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Ku, Ahmad Bustamin Md Piah, 57, mengakui suasana kawasan perumahan itu kini sememangnya di luar dugaan. Melihatkan persekitaran, nyata slogan Desa Ku – “Dreams Come True”- bukan sahaja menjanjikan  impian menjadi kenyataan malah lebih daripada itu.

    Agrofarm dan taman-taman pelbagai tema dengan lanskap menarik seperti Taman Bonsai, Taman Kaktus dan Taman Jepun yang tidak ada dalam pelan asal juga diwujudkan,” jelas beliau sambil menyambung bahawa Taman Holland yang sedang giat dibangunkan terletak hanya 15 langkah dari pintu pagar rumahnya.

    Kelihatan struktur kincir angin sudah tersedia di kawasan itu, manakala beberapa pekerja tekun menguruskan tanaman dan pembinaan taman berkenaan.

    Hanya satu seumpamanya

    Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai konsep hartanah itu, penulis menemui arkitek perunding projek berkenaan Tan Yeong Keat yang sempat meluangkan masa bersama-sama penulis meninjau sekitar Desa Ku yang seluas lebih 100 hektar itu. Menurut Tan, sebelum ini kawasan berkenaan sememangnya suram dan tidak banyak pembangunan sehinggakan rumah-rumah yang dibina sukar dijual.

    “Menyedari permasalahan itu, pemaju memikirkan pilihan baharu supaya orang ramai sanggup datang ke sini, beli rumah dan tinggal di sini dengan selesa. “Pemaju mengambil langkah berani dengan melabur untuk menaiktaraf keseluruhan kawasan dengan memperkenalkan konsep baharu yang belum pernah dilakukan mana-mana pemaju di negara ini,” jelas beliau kepada Bernama.

    Kawasan lapang yang pada asalnya diperuntukkan untuk tapak permainan kanak-kanak atau padang dijadikan taman pelbagai tema lanskap, bagi memastikan penduduk di situ dalam persekitaran selesa, cantik dan sesuai untuk beriadah.

    Meninjau Taman Bonsai, kelihatan seni bonsai yang pelbagai bentuk, ada yang bertingkat-tingkat, berbatang lurus, bengkok, ada yang dianyam, merimbun, merendang seperti payung, membujur, bulat malah bermacam-macam lagi. Susun aturnya kreatif, disulami tumbuhan renek berbunga menjadikan lanskapnya sangat menarik.

    “Mengagumkan,” bisik hati penulis sebaik sahaja terlihat beberapa pohon ‘berdiri’ di atas akar yang tinggi menjulang, di Taman Kaktus di seberang jalan. Setiap pohon Australian Banyan itu difahamkan bernilai ratusan ribu ringgit- antara yang termahal di situ.

    Taman Kaktus juga ditanami tumbuhan renek berbunga bagi menambah seri lanskapnya. Terdapat pelbagai bentuk kaktus- bulat, leper, bintang, lonjong meninggi, macam tanduk rusa, karang laut, ada yang berduri malah ada juga beberapa spesies berbunga.

    Malah, ada spesies jarang ditemui yang berbunga setiap 100 tahun. Berjalan melintasi beberapa deretan rumah menuju ke Taman Jepun yang jauhnya hanya sepelaung dari situ, penulis diberitahu bahawa tumbuhan dan lanskap kaki lima di luar pagar rumah-rumah di situ diuruskan oleh para pekerja pemaju.

    Menuju ke Taman Jepun, mata penulis terpandang ke arah struktur pagoda berhampiran jambatan merah merentasi kolam di situ. Berdiri di atas jambatan sambil melihat kawanan ikan kap berenang-renang memang melekakan. Jadi, tidak menghairankan bila diberitahu ia antara yang paling kerap dikunjungi penduduk di situ.

    Bukan perumahan elit

    Ditanya mengenai kos pembangunan lanskap, Tan memberitahu walaupun terdapat pepohon yang diimport dari pelbagai negara, tidak ada peruntukan tertentu kerana pemaju akan sentiasa memperbaiki dan menaiktaraf kemudahan di situ. Walaupun menghadapi risiko tinggi seandainya usaha itu tidak mendapat sambutan, pemaju yakin akan konsep yang diperkenalkannya.

    Nyata tidak sia-sia, sejak diperkenalkan konsep itu, hartanah di Desa Ku semakin mendapat sambutan. Kini Fasa 2 yang merangkumi lebih 500 unit untuk penjawat awam habis dijual manakala 200 unit lagi bagi di fasa 3 belum dibuka jualannya.

    “Antara faktor yang menjadi tarikan adalah konsep bina baru jual. Ramai yang sangka ini adalah projek elit. Sebenarnya skim perumahan ini termasuk khusus untuk Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M),” jelas beliau.

    Soraya tarik pelancong

    Menurut Tan, kebanyakan pembangunan di Desa Ku terutamanya di Agrofarm akan dibawa ke MBI Soraya (Soraya) yang bakal dibangunkan dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

    Kelak, Desa Ku dan Soraya bukan sahaja sebagai penempatan selesa bagi penduduknya malah destinasi pelancongan menarik.

    Soraya kelak akan dibahagikan kepada 14 presint, 11 daripadanya untuk skim perumahan berkonsep chalet berbeza struktur bagi setiap present. Setiap plot rumah seluas kira-kira 929 meter persegi, namun hanya 20 peratus untuk rizab rumah manakala selebihnya kawasan hijau. Setiap presint akan mempunyai nama unik tersendiri dan tanaman tertentu.

    Kawasan lain termasuk taman tema, lapangan sasar golf, sukan indoor/outdoor, galeri ukiran batu hiasan, taman pendidikan, hab komersial, pelancongan agro, pelancongan perubatan dan taman industri.

    “Tidak lama lagi kawasan ini akan bangkit dan jadi mercu tanda di sini sekali gua lonjakkan ekonomi Kulim.

    Pemaju tidak jual rumah dan ‘cuci tangan’, tetapi juga menganjurkan aktiviti berterusan yang boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat dan sekitarnya termasuk membuka kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.

    Pemilik hartanah di Soraya boleh menjadi pelabur dengan menyewakannya kepada pemaju untuk tujuan pelancongan dan keuntungan dikongsi bersama. Pemaju bercadang membawa masuk kira-kira 20,000 pelancong setiap bulan dan mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM100juta, berdasarkan sasaran setiap pelancong meluangkan purata dua malam di situ dan membelanjakan kira-kira RM5,000 seorang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda