Hartawan Filipina meninggal pada usia 85

MANILA, 17 JUN – Hartawan perniagaan Filipina Eduardo Cojuangco meninggal dunia pada malam kelmarin, umum San Miguel Corporation dalam satu kenyataan hari ini, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berusia 85 tahun dan merupakan pengerusi serta ketua pegawai eksekutif syarikat itu.

Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque mengucapkan takziah kepada keluarga Cojuangco.

Roque berkata mendiang menerusi San Miguel Corporation, “telah memberi sumbangan besar terhadap pengembangan sosioekonomi Filipina melalui perniagaan makanan, minuman, sektor tenaga, minyak dan infrastruktur.”

Selain San Miguel Corporation, mendiang juga mengetuai beberapa syarikat tersenarai awam.

Cojuangco turut menceburkan diri dalam politik, pernah menjadi gabenor wilayah Tarlac pada 1960an dan menjadi calon presiden Filipina pada 1992 tetapi tewas. – Bernama