Oleh Aziz Idris
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Atas khidmat masyarakat yang dilaksanakannya, seorang belia tempatan telah menjadi anak Brunei kedua yang menerima pengiktirafan Queen’s Young Leaders Award daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II, Queen of the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland pada majlis yang berlangsung di Istana Buckingham di London, semalam.
Bercakap menerusi telefon dari London, Pengiran Haji Ahmad Fadillah bin Pengiran Haji Sellahhudin, 28, pengasas bersama Projek Bina Ukhwah tidak dapat menyembunyikan rasa kegembiraannya apabila terpilih sebagai penerima anugerah tersebut bersama-sama para belia dari 38 buah negara Komanwel.
Menurutnya anugerah ini bukan sahaja untuk mengiktiraf usahanya tetapi juga tanda harapan bagi semua pemimpin belia Brunei yang juga menyimpan hasrat yang sama dan itu menandakan tidak ada pengecualian untuk anak-anak Brunei dalam mencapai perkara-perkara yang hebat dalam membina masyarakat mereka.
“Saya berbesar hati Projek Bina Ukhwah yang bermatlamat mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih baik dan selamat bagi keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di Brunei Darussalam telah mendapat pengiktirafan oleh Baginda Ratu,” ujar Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar yang menjadi anak tempatan kedua menerima anugerah itu setelah Pengasas Green Brunei yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari pada tahun 2015.
Anugerah berkenaan adalah untuk mengiktiraf belia-belia berusia antara 18 hingga 29 tahun dari seluruh negara Komanwel yang menerajui masyarakat mereka dan menggunakan kemahiran mereka untuk mengubah kehidupan.

Turut hadir pada majlis penganugerahan dan memberi ucapan selamat kepada para pemenang anugerah kepimpinan belia khas itu ialah Duke and Duchess of Sussex, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam Tuan Yang Terutama Richard Stephen Lindsay dalam mesej tahniahnya mengatakan “Anugerah itu telah diberikan dalam memperakui usaha beliau dalam memberi bantuan kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di Brunei dan membantu meningkatkan ekonomi mereka menerusi pertubuhannya, Projek Bina Ukwah.”
Menurut Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar lagi, anugerah itu hanyalah permulaan bagi perjalanannya untuk mencipta ‘impak yang lebih positif kepada masyarakat’. Ia juga pengiktirafan besar bagi anak-anak muda Brunei atas kerja-kerja inspirasi yang telah mereka lakukan di Brunei, tambahnya.
Bagaimanapun dia menegaskan bahawa menerima anugerah itu bukanlah perjalanannya sendiri, “Ia adalah perjalanan semua orang yang telah mengajar kami, memberikan kami inspirasi dan bekerjasama dengan kami.”
Beliau juga mengatakan kejayaan itu adalah bersumber dari persatuan-persatuan yang disifatkan telah memberikannya peluang untuk berkembang seperti Projek Bina Ukhwah, Majlis AIDS Brunei Darussalam, UBD Guild of Graduates dan SCOT serta rakan-rakan rapatnya, para mentor dan pemimpin-pemimpin muda berinspirasi yang dihormatinya.
Gerakan-gerakan belia seumpama itu juga melaksanakan usaha program memperkasa keluarga dan pembangunan ekonomi yang menjadi mentor para keluarga dan menyediakan mereka dengan pembiayaan untuk memulakan perniagaan kecil mereka sendiri.
Apabila diminta untuk menghuraikan perasaannya setelah menerima pengiktirafan Baginda Ratu, jawabnya, “Pengalaman bertemu dengan Baginda Ratu di Istana Buckingham adalah bagaikan satu mimpi, Baginda Ratu juga telah melahirkan kekaguman Baginda di atas pencapaian kami dan mengucapkan tahniah kepada saya ketika menyampaikan anugerah.”
Selain berpeluang beramah mesra dengan kerabat-kerabat diraja United Kingdom, para penerima anugerah juga menyertai Program ‘Residential’ selama dua minggu bermula 15 hingga 26 Jun dengan mengadakan lawatan ke 10 Downing Street, sesi bersama Perdana Menteri Theresa May, bertemu bekas Perdana Menteri Britain, John Major; Setiausaha Agung Komanwel, Baroness Scotland; dan juga cef terkenal Jamie Oliver serta pemain bola sepak David Beckham.
Di samping itu, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar juga berpeluang mendapat bimbingan dan latihan menerusi Institusi Pendidikan Lanjutan, Universiti Cambridge, yang dibentuk untuk mengembangkan kemahiran kepimpinannya seterusnya dan memastikan dia layak untuk menerajui laluan pada masa hadapan dalam menangani beberapa isu-isu yang mendesak di tanah air.

































