Harumkan nama negara

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan membuat lawatan mengejut bagi mengikuti perkembangan terkini atlet wusyu remaja Negara Brunei Darussalam, sekali gus merangsang moral para atlet yang akan bersaing di Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup minggu depan.

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah.

Mengiringi Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia semasa lawatan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Duli Yang Teramat Mulia, selaku penaung jawatankuasa penganjur bagi Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10, turut berkenan memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada para atlet wusyu.

Duli Yang Teramat Mulia berharap para atlet untuk sentiasa fokus dan memberikan tumpuan sepenuhnya semasa kejohanan berlangsung.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan memberikan kata-kata semangat kepada para atlet yang akan bersaing di Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10. Turut hadir ialah YAM Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah.

Dengan Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kejohanan, para atlet diharap mengambil peluang keemasan ini untuk membanggakan negara.

Jurulatih wusyu kebangsaan, Li Hui sementara itu menyembahkan rasa terima kasih atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia.

“Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara telah membantu merangsang moral para atlet. Kami sangat teruja atas lawatan dan sokongan Duli Yang Teramat Mulia buat sukan wusyu,” katanya.

Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan dijunjung menyaksikan beberapa persembahan gerakan oleh para atlet wusyu.

Atlet-atlet wusyu negara akan menyertai beberapa disiplin termasuk duel event, changquan, gunshu, nanquan, daoshu, taijiquan, 42 forms taijiquan, taijijian, nangun, jianshu dan acara berkumpulan.

Negara diwakili oleh Aaron JinyiPhung, Abel Lim Wee Yuen, Majdurano Joel bin MajallahSain, Mohammad Safiee Shayferan bin Roslan, Walid Lachkar, Lim Wei Jun, Hosea Wong Zheng Yu, Basma Lachkar, Dexuan Ling, Nur Bastrishia Ripin, Lim Yee Sean, Chiam Ziqi dan Ziyan Li.