Harumkan nama negara dalam sukan gasing

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Pasukan Brunei Darussalam A berjaya mengharumkan nama negara selepas muncul sebagai juara dalam Kejohanan Gasing Pangkah sempena Karnival Sukan Pelancongan Labuan 2019.

Dalam perlawanan akhir itu, pasukan berkenaan berjaya menewaskan pasukan dari negeri Sarawak dengan kiraan mata 5-0. Sementara itu di tempat ketiga dan ketiga pula diraih oleh Pasukan Labuan B dan Pasukan Putrajaya A.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 berserta sijil, sementara tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM3,500 berserta sijil. Manakala di tempat ketiga dan keempat, masing-masing membawa hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta sijil.

Pemain Pasukan Brunei Darussalam A terdiri daripada Awang Jasni bin Haji Ompak, Lit bin Haji Lisa, Mohd Ali bin Haji Latip, Dahlan bin Haji Ompak dan Saidi bin Haji Ismail, manakala Haji Kamal bin Haji Tujoh selaku pengurus merangkap jurulatih dan Amran bin Haji Maidin selaku setiausaha Persekutuan Gasing Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERGAB).

Kemenangan ini merupakan kali kedua pasukan gasing Brunei Darussalam A di luar negeri selepas menjuarai kejohanan gasing pangkah sempena pesta buah-buahan di Sipitang Sabah pada Ogos lalu. Kejohanan yang diadakan pada 19 hingga 20 Oktober itu disertai seramai 14 pasukan yang terdiri daripada Pasukan Brunei Darussalam, Sarawak, Singapura, Sabah, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan selaku tuan rumah kejohanan.

Pasukan Brunei Darussalam A ketika menerima hadiah sebagai juara pada kejohanan tersebut.