PEMINAT permainan video yang berorientasikan permainan taktik dan memerlukan kebijaksanaan dalam mengatur strategi seperti siri Commandos dan Desperados setentunya akan menyukai Shadow Tactics: Blades of the Shogun (STBOTS) yang diusahakan oleh syarikat pengeluar dari Jerman, Mimimi Productions dan diedarkan oleh Daedalic Entertainment.
Shadow Tactics: Blades of the Shogun juga telah memenangi tiga anugerah iaitu Permainan Video Jerman Terbaik, Permainan Video Pelantar PC Terbaik dan Rekaan Permainan Video Terbaik.
Keamanan negara terjejas
Permainan video ini menampilkan latar belakang pada era Edo di Jepun tatkala para pahlawan meraikan kemenangan selepas berjaya meraih kemenangan dalam peperangan.
Namun, keadaan kembali menjadi huru-hara dengan kemunculan seorang ketua perang bernama Kage-sama yang kembali menjejaskan keadaan yang stabil di negara tersebut.

Justeru, seorang samurai bernama Mugen telah ditugaskan untuk melaksanakan tugas bagi menyelidiki identiti sebenar penjahat baru yang secara tiba-tiba mencetuskan keadaan huru-hara di Jepun.
Mugen yang telah dipertangungjawabkan untuk melaksanakan tugas penting itu juga turut sama melantik empat lagi rakan sekutu yang cukup berkemahiran dalam bidang peperangan iaitu Hayato, pakar lawan pedang, Yuki, seorang ninja, Aiko, bijak mengatur strategi pencerobohan dan Takuma, seorang penembak sasaran yang tepat.
Kini, pahlawan-pahlawan yang memiliki kemahiran ter-sendiri itu bekerjasama dengan sepenuh hati bagi menentang penjahat misteri itu demi mengembalikan semula keamanan di Jepun dan mereka terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk merealisasikan misi tersebut.
Bijak kawal strategi
Sebagaimana dengan kebanyakan permainan video lain yang menampilkan elemen taktik, Shadow Tactics: Blades of the Shogun juga memerlukan kebijaksanaan para pemain untuk mengatur strategi peperangan dengan baik dalam mengharungi setiap cabaran.
Pelbagai serangan yang boleh dilakukan dalam permainan video ini seperti serangan secara berdepan, serangan hendap, serangan secara individu atau berkumpulan dan banyak lagi.
Tidak seperti dalam kebanyakan permainan video lain di mana apabila pemain melakukan serangan hendap dan berjaya menumbangkan pihak musuh telah menandakan bahawa se-suatu misi itu berjaya dilaksanakan.
Dalam STBOTS, pemain juga harus bertanggungjawab untuk menguruskan mayat pihak musuh yang tumbang sewaktu dalam serangan hendap itu kerana dikhuatiri ia boleh menyedarkan akan adanya serangan yang mengancam mereka sehingga mereka bertindak ganas kembali menyerang pemain secara berkumpulan di mana ia setentunya akan menyukarkan lagi misi yang harus dilaksanakan.
Di samping itu, pemain juga boleh mengarahkan rekrut askar yang menyertai peperangan itu untuk melakukan rondaan terlebih dahulu di kawasan yang dipercayai dikepung oleh pihak musuh.


Melalui strategi tersebut, pemain boleh mengenal pasti keramaian askar pihak musuh yang menjaga kawasan yang telah dikepung itu dan mengetahui gerak-geri serangan mereka sekaligus memberikan kelebihan kepada pemain untuk mengatur strategi serangan yang lebih baik agar ia berjalan dengan lancar dan sempurna.
STBOTS menampilkan dunia latar 3D yang sangat luas dan konsep rekaan yang sangat menarik. Deretan pasu cantik dan longgokan kotak boleh menjadi tempat persembunyian sewaktu melakukan serangan hendap mahupun secara berkumpulan.
Namun, satu perkara yang pemain harus ingatkan ketika melintasi kawasan yang dihiasi dengan pasu cantik dan longgokan kotak itu adalah untuk meningkatkan tahap pengawasan diri agar tidak tergesel mahupun terlanggar dengan benda-benda tersebut hingga terjatuh sekaligus memberikan kesedaran kepada pihak musuh akan kewujudan anda di zon peperangan itu.
Justeru, tempat terbaik sebagai lokasi persembunyian adalah kawasan semak-samun di mana ia kurang mendatangkan risiko kepada pihak musuh.
Sementara serangan peribadi turut dilengkapi dalam diri setiap karakter seperti Hayato yang boleh melakukan serangan jarak jauh dengan melancarkan shuriken. Yuki bijak membina perangkap, Mugen pula bijak melakukan serangan pedang secara jarak yang lebih dekat, Aiko bijak memanipulasi musuh dengan daya tarikan personalitinya yang menarik dan Takuma pula hebat melakukan serangan tembakan tepat kepada pihak musuh walaupun dari posisi yang jauh.
Secara keseluruhan Shadow Tactics: Blades of the Shogun merupakan sebuah permainan video yang menguji minda dan kebijaksanaan pemain dalam melaksanakan misi peperangan secara sempurna.