Saturday, December 2, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Hasil busana dari kertas terpakai cetus gaya mempesonakan

    KUALA LUMPUR – Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itulah perumpamaan paling sesuai bagi menggambarkan usaha jitu seorang pegawai latihan dalam menghasilkan busana kreatif hanya menggunakan kertas terpakai.

    Bagi Norfarizan Jawahir, 38, biarpun tugas itu dilihat sukar namun kerana kecintaannya dalam bidang fesyen menyebabkannya mencuba elemen baharu bagi menggantikan fabrik yang sering digunakan dalam pembuatan pakaian. 

    Bermodalkan RM250, beliau akhirnya berjaya menghasilkan gaun berona hitam putih bermotifkan flora era tahun 1970-an sehingga memenangi  tempat pertama pertandingan reka fesyen daripada bahan kitar semula Waste Is Amazing anjuran Alam Flora Sdn Bhd, tahun lepas.

    “Saya buat kajian hampir sebulan untuk mencari bagaimana mahu menghasilkan silhouette (rangka gaun) kerana ketika tahun 1970-an, baroque style popular dan mementingkan ‘volume’ seperti skirt dan gaun kembang yang ada shape (bentuk) tertentu.

    “Oleh itu, saya perlu membuat eksperimen dengan menggunakan pelbagai kertas antaranya kertas keras, wallpaper dan kadbod, namun majoritinya tidak menjadi seperti yang dikehendaki,” katanya kepada Bernama.

    Pegawai latihan di Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, Kuala Kubu Bharu itu berkata selepas beberapa kali percubaan, beliau akhirnya memutuskan untuk menggunakan surat khabar, kertas majalah dan pinggan kertas untuk menghasilkan busana tersebut.

    Pun begitu, bagi menjayakannya, Norfarizan perlu lebih berhati-hati memandangkan bahan utamanya – kertas – mudah koyak dan rosak.

    “Jika ia diperbuat daripada fabrik, ia tiada masalah tetapi apabila menggunakan kertas saya perlu cuba dua tiga kali untuk menguji tahap berat kertas itu supaya tidak rosak.

    “Tambahan pula, zaman baroque style menekankan motif sulam. Saya terpaksa menggunakan teknik tampal hias (applique) sebelum menebuk lubang pada rekaan itu bagi menimbulkan motif rekaan,” katanya yang dapat menyiapkan busana tersebut hanya dalam tempoh lima hari.

    Norfarizan berkata beliau sangat menggalakkan pelajarnya menggunakan bahan kitar semula sebagai satu proses mengetengahkan idea dan bakat sedia ada dan pada masa sama membantu melestarikan alam sekitar.

    Sementara itu, pemenang kedua dalam pertandingan itu Muhammad Danish Saiful Rizal, 21, menyifatkan pengalamannya menghasilkan busana daripada bahan kitar semula mampu menyediakan dirinya ke dunia fesyen yang mencabar. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS$2.2 juta dilarikan perompak bersenjata

    NEW DELHI, 1 DIS – Perompak bersenjata melarikan 188 juta rupee (AS$2.2 juta) dari sebuah bank di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan. Rompakan...