SEREMBAN – Usaha mengkaji dan mempelajari mengenai coklat Eropah diiringi minat yang mendalam terhadap pembuatannya kini mendorong Siti Noraizah Kassim untuk melangkah lebih jauh dengan jenama Chocs Valley.
Bekas penolong pengurus jualan dan pemasaran di sebuah firma swasta itu mengusahakan pembuatan coklat sejak tujuh tahun lepas dan berjaya merealisasikan pendapatan mencecah kira-kira RM25,000 sebulan.
Susulan mendapat sambutan baik dari seluruh negara, kini Chocs Valley sedang meninjau peluang pasaran baharu di negara Timur Tengah serta negara jiran seperti Brunei dan Vietnam, katanya kepada media di sini, baru-baru ini.
Usahawan berusia 50 tahun itu berkata kejayaan yang dikecapi menguatkan azam dan perancangannya untuk memperhebat lagi jualan produk selain menyasarkan untuk meraih pendapatan sebanyak RM1 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Bagi setiap kali pembuatan, sebanyak 500 kilogram coklat digunakan, katanya.
“Selain belajar menerusi kelas pembuatan coklat dengan Lembaga Koko Malaysia, saya juga banyak lakukan kajian tentang coklat dari negara Eropah, disebabkan itu kebanyakan coklat dihasilkan mempunyai pengaruh negara Eropah seperti Belgium dan Perancis,” katanya.
Beliau berkata Chocs Valley juga mengeluarkan produk coklat buatan tangan premium iaitu artisan coklat, terdiri daripada beraneka jenis iaitu pralin dan trufel yang dijual pada harga RM35 sekotak manakala coklat bar dijual pada harga RM6.50 bagi 84 gram.
“Jadi penggemar coklat hari ini boleh menikmati coklat tempatan yang berkhasiat dan berkualiti tinggi pada harga berpatutan, dan lebih menarik, ia mempunyai kualiti dan rasa setanding coklat import seperti dari Switzerland dan Belgium,” katanya.
Beliau berkata pencapaian yang diraihnya pada hari ini bermula dengan minat terhadap industri pembuatan coklat dan mula diusahakan secara kecil-kecilan melalui pembukaan sebuah kiosk di pasar raya di sini pada 2013 selepas berhenti kerja pada 2010.
“Dua tahun kemudian saya mula mengeluarkan jenama sendiri iaitu Chocs Valley dan menyewa sebuah kedai terletak di perkarangan kompleks Muzium Negeri Sembilan. Sehingga kini saya telah berjaya mencipta 60 jenis coklat pelbagai perisa dan tekstur,” katanya yang mempunyai empat pekerja.
Siti Noraizah memulakan perniagaan dengan modal hampir RM200,000 dan kini ibu kepada dua anak ini optimis mampu meraih pendapatan mencecah RM300,000 setahun dengan mempelbagaikan strategi jualan.
Beliau berkata pelanggan boleh memperoleh produk Chocs Valley menerusi ejen yang dilantik di Bangsar, Kuala Lumpur serta di Shah Alam dan Klang, Selangor atau menerusi pembelian secara dalam talian di platform Lazada dan ourshop.com.
Pihaknya juga menyediakan perkhidmatan membuat coklat mengikut kehendak pelanggan dan setakat ini tempahan diterima dari hotel, syarikat korporat, agensi kerajaan selain untuk majlis perkahwinan, acara korporat dan sambutan hari ulang tahun kelahiran. – Bernama