KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Geely Auto-mobile Holdings China mencatat keputusan kewangan yang cemerlang dalam tempoh separuh pertama tahun ini (1H17) dengan pendapatan melonjak 118 peratus kepada RMB39.42 bilion (RM25.30 bilion) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Keuntungan melonjak 128 peratus kepada RMB 4.344 bilion pada 1H17, manakala margin keuntungan kasar naik lapan peratus kepada 19.2 peratus berbanding sebelumnya, kata Geely Auto dalam satu kenyataan, yang dikeluarkan oleh PROTON Holdings Bhd di sini hari ini
Sebanyak 530,627 kenderaan dijual pada 1H17, peningkatan 89 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Geely Auto kekal pada kedudukan untuk mencapai sasaran penjualan tahunan mereka sebanyak 1.1 juta unit menerusi model baharu yang dilancarkan yang dijadual dilancarkan pada separuh kedua tahun ini,” kata syarikat itu.
Antara kenderaan Generasi 3.0, Bo Yue SUV, Emgrand GS, dan Vision SUV, sejumlah 233,482 unit sudah terjual.
Geely Auto berkata, Bo Yue SUV, SUV dengan jualan terbesar, merekodkan jualan yang kukuh, melonjak 509 peratus kepada 116,932 unit berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Bagi segmen sedan, syarikat kereta itu menjual 292,314 unit pada 1H17, dengan 117,718 membabitkan Emgrand Baru, 45,486 dalam segmen A + Emgrand GL, dan 16,404 bagi Geely GC9.
Di pasaran tenaga baharu, Emgrand EV menjual 7,982 unit pada 1h17, dan menjadi antara model EV paling laris di China.
Syarikat induk Geely Auto, Zhejiang Geely Holding Group, menguasai 49 peratus pegangan dalam Proton daripada DRB-Hicom awal tahun ini. – Bernama