Hasil getah asli M’sia susut 11.7 peratus pada 2021

KUALA LUMPUR, 15 OKT – Pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2021 susut 11.7 peratus kepada 42,942 tan daripada 48,610 tan yang direkodkan pada Julai 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOMS).

Ia juga menjelaskan pengeluaran tahunan turut menurun 3.6 peratus berbanding 44,543 tan pada bulan yang sama 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2021 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 90.9 peratus manakala sektor estet sebanyak 9.1 peratus. Beliau berkata jumlah stok getah asli pada Ogos 2021 meningkat 2.3 peratus kepada 287,380 tan daripada 280,844 tan pada Julai 2021, dengan kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.5 peratus diikuti oleh kilang pengguna getah pada 8.4 peratus dan estet getah sebanyak 0.1 peratus.

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 59,172 tan pada Ogos 2021, meningkat 21.6 peratus daripada 48,645 tan pada Julai 2021.

“China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 43.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Ogos 2021 diikuti Amerika Syarikat dengan 9.0 peratus, Perancis pada 8.4 peratus, Turki sebanyak 3.1 peratus dan Brazil dengan 2.4 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Ogos 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata prestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. – Bernama