Hasil kraf tangan bertaraf global

KENINGAU – Walaupun cita-cita untuk menjadi seorang guru tidak kesampaian, namun Narty Raitom kini mampu meraih pendapatan yang lumayan dan melebihi gaji seorang guru, hasil daripada jualan kraf tangannya.

Narty, 35, merupakan anak kedua daripada 10 adik-beradik berkata bahawa walaupun pada era 80an permintaan terhadap hasil kraf tangan hampir pasif ekoran daripada ledakan teknologi yang begitu pantas, namun kini industri itu merupakan satu sumber kekayaan baharu, jika pengusahanya benar-benar kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa dan bersifat global.

“Apa yang saya hasilkan kini digunakan masyarakat global, seperti beg berasaskan buluh dan direka pelbagai bentuk digunakan di Berlin, Amerika Syarikat, China serta negara-negara Asia dan Eropah yang lain… Saya sangat bangga dengan pencapaian ini,” katanya kepada Bernama.

Narty terjerumus dalam bidang kraftangan seawal usia 10 tahun, menjadikan beliau kini mahir menghasilkan pelbagai rekaan yang menarik.

“Saya sangat beruntung kerana ibu seorang pereka kraf tradisional, yang diwarisinya sejak turun temurun daripada nenek moyangnya. Ibu mengajar saya mengenai kehebatan kesenian kraf tangan ketika berumur 10 tahun. Ibu meyakinkan saya bahawa hasil kraftangan boleh menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.

Pengusaha barangan kraftangan, Narty Raitom mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan pelbagai bentuk kraf tangan berasaskan bambu yang memberi pendapatan lumayan kepadanya. – Bernama
Antara produk yang diusahakan pengusahakan kraf anyaman buluh ‘salingkawang’. – Bernama

Beliau berkata apa yang dikatakan ibu itu menjadi kenyataan apabila hasil-hasil rekaan krafnya kini bertaraf dunia yang membolehkan beliau memperoleh pendapatan melebihi gaji seorang guru.

Berasal dari Kampung Batu Lunguyan, Sook, Keningau, Narty berkata sejak kecil beliau bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

“Ibu memberitahu saya mengenai cita-citanya itu ketika saya berumur tujuh tahun. Ibu juga beri saya keyakinan bahawa saya boleh membantu bangsa kami (Dusun Minokok) jika menjadi seorang guru. Namun saya kini berbangga sebagai pereka kraf tradisio-nal dan keputusannya untuk memilih kerjaya sebagai pengusaha dan pereka kraf tangan, sememangnya sangat tepat,” tambahnya.

Narty telah empat kali dinobatkan sebagai johan peringkat negeri Sabah atas penghasilan produk kraftangan terbaik.

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam industri kraftangan tradisional, Narty berkata segala-galanya bermula pada tahun 2011 apabila beliau menubuhkan syarikat yang dinamakan Magicbamboo dengan hanya bermodalkan RM500.

“Saya memulakan dengan perkhidmatan barangan promosi berasaskan buluh,” katanya dan mengakui tidak menjangka bahawa perniagaan yang beliau asaskan di rumah itu, mendapat pasaran meluas di serata dunia.

Beliau berkata salah satu kelebihan kraf tangan yang beliau hasilkan ialah kesemua produk yang direka berasaskan buluh.

“Produk dicipta berdasarkan cita rasa pengguna dan kesemua hasil karya boleh diperolehi melalui Perbadanan Kraftangan Malaysia, Pusat Kraftangan Sabah, Kraf Holding Malaysia, serta tempahan melalui dalam talian,” katanya.

Narty berkata kini beliau bersama lapan kakitangannya sedang menyiapkan tikar buluh sepanjang 15 meter, yang ditempah untuk pameran di Muzium Singapura.

Katanya tikar yang direka khas dan berkonsepkan kehidupan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) itu berharga RM20,000 dan mengambil masa lebih dua bulan untuk disiapkan. Sebanyak 50 kilogram bilah buluh digunakan untuk menyiapkan tikar ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), kerana mendorong dan banyak membantu untuk mempromosi hasil karya kraftangannya ke serata dunia. – Bernama