Oleh Nurdiyanah R.
Saban tahun, industri hiliran perkayuan di negara ini khususnya dalam pembuatan perabot, kraf tangan dan produk ukiran kayu lain melalui penglibatan anak tempatan semakin berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Begitulah kemeriahan yang dapat digambarkan semasa berlangsungnya Ekspo Produk Perkayuan Negara Brunei Darussalam dan Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Pembuatan Perabot Kayu sempena Hari Hutan Antarabangsa 2022 yang berlangsung di Onecity Shopping Mall selama tiga hari, baru-baru ini.
Adapun perlaksanaan ekspo merupakan kali kedua yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan bertujuan untuk memfokuskan salah satu kepentingan hutan sebagai sumber bekalan kayu bagi penghasilan produk perkayuan yang diperlukan.
Ia juga salah satu langkah pihak kerajaan melalui jabatan dalam mempromosikan produk perkayuan tempatan dan membantu syarikat dan pengusaha tempatan bagi memperkenalkan produk perkayuan buatan masing-masing untuk paparan dan jualan kepada orang ramai.
Sentuhan berteraskan kemelayuan Islam
Berkesempatan ditemui penulis, pengasas Syarikat Nagawitra.Works, salah sebuah syarikat pertukangan produk kayu di negara ini, Awang Jamarul bin Haji Dahlan berkongsi cerita sebelumnya beliau hanya mengusahakan produk pertukangan kayu secara manual atau tradisional untuk menghasilkan pelbagai produk kayu palet yang lebih bercirikan perabot Do It Yourself (DIY).
Tambahnya, beliau mula menubuhkan perusahaan sejak tahun 2015, dan kini beliau lebih menggunakan teknik laser engraving dalam mempelbagaikan produk-produknya yang mana antara kayu asas yang digunakan ialah kayu Colonia dan papan lapis.
Selain produk cenderahati seperti rantai kekunci dan ukiran gambar peribadi pada kayu, Awang Jamarul turut menghasilkan produk rehal Al-Quran moden, rekaan perhiasan dalaman rumah seperti ayat-ayat suci Al-Quran dan kalimah-kalimah agung dan sebagainya.
Beliau yang pernah mengikuti pakej kursus ketika membeli mesin laser engraving di negara jiran Malaysia pada tahun 2018 secara peribadi turut mengongsi pada saat itulah kemahiran dalam pertukangan kayu ini mula berkembang lagi dengan penggunaan mesin-mesin yang lebih moden sebelumnya hanya mengetahui teknik pertukangan kayu secara tradisi sahaja.
“Alhamdulillah, kini dengan pengalaman dan pengetahuan yang diterokai sebelumnya itu saya berpeluang untuk berkongsinya kepada dua orang ahli yang kini banyak membantu saya menjalankan perusahaan ini sehingga ke detik ini,” kongsinya lanjut.
Dalam meniti perusahaan pertukangan sedemikian, Awang Jamarul turut berkongsi matlamat tulusnya bagi menerapkan nilai-nilai bangsa Melayu itu sendiri yang sememangnya sejak dahulu lagi tidak asing dengan seni pembuatan pertukangan tangan dari pelbagai bahan asas.
“Sejajar dengan adanya semangat kemelayuan itu juga dikukuhkan lagi dengan nilai-nilai keislaman sebagai pegangan kehidupan kita selama ini, maka dari situ terhasilnya ilham untuk mengetengahkan lagi variasi sentuhan produk-produk perhiasaan dengan kalimah-kalimah agung seperti Allah dan Muhammad yang apabila kita memandangnya sekali gus membacanya dalam hati sudah pasti kebaikan dan pahala turut kita raih bersama dengan izin Allah SWT jua,” ujarnya yang telah menyertai ekspo sedemikian buat kali kedua.
Memanfaatkan kayu-kayu terbuang
Sementara itu, bermatlamat untuk mencungkil bakat dan kemahiran generasi muda tanah air dalam pelbagai bidang seni lukisan dan kraf tangan, begitulah luahan tulus yang dikongsikan oleh pengasas Zakaria Omar Arts Foundation, Awang Zakaria bin Omar semasa berlangsungnya pameran tersebut.
Salah satu produk seni kraf tangan oleh pelajar yang menyertai program asas kemahiran seni yang diketengahkan beliau berkenaan ialah tempat penyimpanan tisu dengan sentuhan rekaan yang unik menggunakan bahan-bahan kayu terbuang.
Berkongsi lanjut mengenai proses-proses pembuatan produk berkenaan, Awang Zakaria menjelaskan ia terdiri dari potongan kayu terbuang dari batang penyapu yang dihalusi dengan kertas pasir dan diukur panjangnya mengikut cita rasa masing-masing kemudian dilakukan proses pembakaran mengikut warna tahap kegelapan yang diingini sebelum dilakukan proses mengecat.
“Sememangnya apabila kita melihat penghasilan produk ini bukanlah hanya semata-mata untuk mengongsikan kreativiti para pelajar ini namun apa yang pasti ia juga secara tidak langsung bertujuan untuk mengaplikasikan nilai-nilai murni dari segi amalan kitar semula dalam kehidupan sehari-hari,” jelasnya yang turut bersyukur dengan adanya acara sedemikian, ia juga secara tidak langsung mendidik mereka untuk menerokai bidang keusahawanan dari hasil produk yang diketengahkan kepada orang ramai.