Hasil seni sepanjang 5km dipamerkan

SULAIMANIYAH, IRAQ, 27 OKT – Di jalan raya sepanjang lima kilometer (km) di Sulaimaniyah, seorang artis Iraq melancarkan kolaj pakaian yang berjahit daripada mangsa wanita keganasan rumah tangga.

“Tiga bulan lalu, saya mula mengumpul pakaian wanita yang menjadi mangsa keganasan oleh suami dan keluarga mereka di seluruh rantau,” beritahu Tara Abdallah, yang menjahit kerja seni yang telah digantung di seluruh bandar, kepada AFP.

Artis itu telah meminta mangsa wanita supaya menyumbang cebisan pakaian yang melambangkan trauma mereka dan menjahit mereka bersama untuk mewujudkan kerja tampalan berwarna-warni.

“Saya mendengar banyak kisah mengenai keganasan yang dialami oleh wanita dalam masyarakat kami semasa membuat penyelidikan. Setiap kerja seni ini mempunyai cerita di sebaliknya,” kata beliau.

Kira-kira 37.5 peratus wanita Kurdish berusia di antara 15 dan 49 tahun juga mengalami penderaan di rantau Kurdistan di utara Iraq, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Angka tersebut adalah kurang satu peratus untuk wanita di seluruh Iraq.

Disebabkan terdesak, wanita Kurdish Iraq sering kala bunuh diri untuk melepaskan diri dari keganasan rumah tangga atau perkahwinan paksa.

Kumpulan hak berkata keganasan rumah tangga meningkat di seluruh dunia semasa sekatan pada awal tahun ini untuk mengawal pandemik koronavirus. – AFP

Hasil seni oleh artis Tara Abdallah tergantung di atas lebuh raya di bandar Sulaimaniyah di rantau Kurdish Iraq pada 26 Oktober. – AFP