Hasil siasatan awal nahas Sriwijaya Air diumum Februari

JAKARTA, 19 JAN – Laporan awal hasil siasatan pesawat Sriwijaya Air yang terhempas 9 Januari lepas, dijangka diumumkan Februari ini.

Ketua Sub Komite Investigasi Kecelakaan Penerbangan, Komite Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) Kapten Nurcahyo Utomo berkata pasukan siasatan ketika ini memuat turun dan menganalisis perakam data penerbangan (FDR) pesawat yang ditemukan pada 12 Januari lepas.

“Kami berharap dalam 30 hari setelah (tarikh) nahas, kami akan mengumumkan laporan awal dan apabila siap nanti, kami akan menyampaikan kepada masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata KNKT berharap pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan turut menemui perakam suara kokpit (CVR) bagi membantu analisis data yang diperoleh daripada FDR.

Pasukan siasatan KNKT itu turut dianggotai empat pegawai penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat, empat pegawai syarikat Boeing, dua pegawai Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan seorang dari General Electric, syarikat pembuat enjin pesawat itu.

Penerbangan pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air dari Jakarta ke Pontianak yang membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal itu terputus hubungan selepas berlepas jam 2:36 petang pada 9 Jan lepas, sebelum terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta. – Bernama

AFP