Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Hasil suntingan otai buat ramai kagum

    JEPUN – Pelik tapi benar, itulah yang dapat diungkap terhadap kisah seorang nenek berusia 94 tahun, Kimiko Nishimito yang dikenali sebagai ‘otai’ fotografi dan penyunting gambar yang dikagumi.

    Menurut laporan Bored Panda, hasil seni Kimiko yang popular di Instagram turut diberi julukan ‘Insta-Gran’ membuatkan warganet ternganga!

    Melalui kisah Kimiko ini membuktikan faktor usia bukanlah halangan buat Kimiko untuk jatuh cinta kepada dunia seni fotografi pada usia 72 tahun. Sejak itu beliau tidak pernah berhenti menghasilkan karya yang menakjubkan.

    Suntingan tahap profesional hasil tangan beliau amat menarik dengan menjadikan tubuhnya sebagai subjek utama. Tidak mengehadkan gambar potret yang biasa, fotonya disunting dengan kemas sehingga tampak seperti realiti.

    Berdiri di celahan roti gergasi (gambar), memecut laju menaiki skuter, atau tiba-tiba terapung di udara atau digilis kenderaan, karya nenek ini memang kelas A!

    Antara gambar yang disunting dengan kemas oleh Kimiko. – Gambar Instagram Kimiko Nishimito

    Seorang nenek yang kelakar, Kimiko dilahirkan pada tahun 1928 di Brazil dan hanya kembali ke Jepun pada usia lapan tahun. Beliau menjalankan perniagaan salun rambut sebelum mengikut jejak langkah dua adiknya menjadi pelumba basikal trek pada usia 22 tahun.

    Wanita itu meninggalkan kerjaya pelumba basikal pada usia 27 tahun selepas mendirikan rumah tangga. Bergelar isteri kepada pegawai percukaian, Hitoshi, Kimiko dikurniakan tiga cahaya mata.

    Beliau menjalani kehidupan sebagai suri rumah biasa Kumamoto, Kyushu, Jepun membesarkan anak-anak dan tidak pernah terlibat dengan dunia seni fotografi. Sehinggalah pada tahun 2000 ketika berumur 72 tahun, Kimiko menyertai kursus fotografi yang diajar oleh anaknya, pengarah seni, Kazutami Nishimoto.Menemui ‘cinta baharu’ dalam ekspresi fotografi, selepas itu Kimiko tidak pernah berhenti.

    “Saya berminat dalam banyak perkara. Tidak kira berapa umur saya, saya akan terus merakam gambar,” katanya.

    Bukan calang-calang nenek ini, biarpun mula ‘mengangkat’ kamera pada usia emas, beliau berjaya mengadakan pameran seni.

    Pameran pertamanya berlangsung di Muzium Seni Kumamoto Chibajo pada tahun 2011.

    Kehilangan suami tersayang pada tahun 2012 kerana kanser paru-paru tidak mematahkan semangat Kimiko.

    Pameran kali kedua beliau diadakan pada tahun 2018 yang bertajuk “Asobokane?” atau bermaksud ‘Adakah awak bermain’ di Shinjuku.

    Anaknya, Kazutami berkata ibunya bukanlah seorang yang kelakar.

    “Ibu bukanlah jenis yang suka berjenaka di rumah walaupun karyanya lucu,” katanya.

    Tidak sangka nenek yang hampir 100 tahun masih kuat melakukan sesuatu yang digemarinya.

    Justeru, usah jadikan usia sebagai alasan untuk meneroka kemahiran baharu. Masih belum terlambat untuk awda menceburi bidang yang disukai. Di Jepun, seorang daripada 1,450 warganya berusia lebih 100 tahun.

    Paling menakjubkan 88.4 peratus daripadanya adalah wanita manakala Okinawa disahkan mempunyai penduduk yang mempunyai usia yang panjang. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...