KUALA PERLIS – Sekumpulan penuntut dan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menghasilkan ciptaan inovatif sistem kutipan sampah kitar semula elektronik berasaskan teknologi hijau.
Pensyarah fakulti itu Mohd Hafiz Ismail berkata sistem yang dikenali ‘Internet of Thing For Recycle Management (IoRE)’ itu dapat memudahkan syarikat konsesi memantau kutipan sampah kitar semula dengan lebih efisien dan teratur berbanding kaedah konvesional.
“Dengan kaedah ini, syarikat konsesi dapat melakukan kutipan dengan lebih sistematik berpandukan pemantauan secara dalam talian.
“Jika tong kitar semula ini penuh, pihak syarikat konsesi dapat mengetahui kapasiti sampah di lokasi terlibat menerusi aplikasi kita bangunkan ini,” katanya kepada Bernama pada Karnival Kesedaran Kepentingan Kelestarian Alam Sekitar Peringkat Masjid Negeri Perlis di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini.
Terdahulu, karnival tersebut dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana Perlis Ruzaini Rais yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Green Technology & Climate Change Corporation (MGTS) Shamsul Bahar Mohd Nor.
Mohd Hafiz berkata Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail telah dipilih sebagai masjid pertama bagi pelaksanaan inisiatif itu dan akan diperluaskan ke masjid-masjid lain selepas ini.
Katanya, teknologi itu turut menggunakan beberapa tenaga alternatif seperti elektrik, bateri dan solar untuk beroperasi.
“Usaha ini adalah satu daripada sokongan pihak UniMAP bagi memperkembangkan penggunaan teknologi hijau dalam memelihara kelestarian alam sekitar,” katanya. – Bernama